|
Jemaah haji dibawa dengan bas dari Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hari ini. |
KOTA BHARU: Penantian seorang penjual nasi berlauk selama 20 tahun untuk menunaikan haji akhirnya terlaksana selepas terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Warga emas Safiah Salleh, 68, berkata beliau amat gembira dan bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah melalui duit simpanan hasil penat lelahnya menjual nasi berlauk selama ini.
"Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat untuk mengerjakan haji. Oleh sebab itu, saya mula menyimpan sejak 20 tahun lalu dengan menjual nasi berlauk.
"Tetapi saya kerap juga mengambil duit simpanan untuk perbelanjaan kerana masih membesarkan enam anak. Cuma dalam masa 10 tahun kebelakangan ini saya benar-benar mampu menyimpan selepas semua anak bekerja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Safiah yang berasal dari Kampung Kok Keli, Tumpat itu memberitahu setiap hari dia akan bangun seawal pukul 4 pagi bagi menyediakan masakannya.
"Saya memasak dalam 24 kilogram beras sehari untuk memenuhi tempahan beberapa gerai sekitar Tumpat. Walaupun penat saya amat puas hati kerana hasil usaha saya selama ini akhirnya berbaloi," katanya yang telah kematian suami 10 tahun lalu.
Katanya dalam usia emas itu, beliau cuba melakukan aktiviti sukan seperti berjalan kaki sebagai persediaan fizikal ke tanah suci.
"Syukur sebab saya tidak mempunyai sebarang penyakit dan masih bertenaga untuk ke Makkah. Saya harap dapat menjalani ibadat haji dengan lancar dan Allah memudahkan saya mendapatkan haji yang mabrur di sana," katanya.
Sementara itu, jemaah termuda Norfarisha Izawayu Azman, 17, berkata kejayaannya ke tanah suci bersama kedua ibu bapanya seperti mimpi menjadi nyata.
"Syukur sangat kerana pada usia semuda ini saya dipilih Allah menjadi tetamu-Nya. Lebih membahagiakan, saya ke sana bersama ayah dan ibu. Bagi saya ia bagaikan sebuah mimpi indah," katanya.
Bapanya Azman Mat Ali, 49, berkata keputusan terpilih menunaikan haji diperoleh Disember tahun lalu ketika beliau sekeluarga kehilangan rumah di Kuala Krai akibat banjir besar.
"Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa berita gembira ini telah mengubat hati kami yang telah kehilangan rumah," katanya.
Isterinya Zanariah Daud, 49, berkata mereka sekeluarga bertolak dari Kuala Krai seawal pukul 5 pagi tadi kerana teruja untuk berlepas ke tanah suci Ahad.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) Datuk Ghazali Awang berkata seramai 960 jemaah haji di Kelantan tahun ini akan berlepas ke tanah suci melalui enam penerbangan bermula hari ini hingga 3 Sept.
Kerajaan Kelantan dengan kerjasama TH melaksanakan pelepasan jemaah haji secara 'direct transit' melalui sewaan khas Penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Madinah.
Sumber: Bernama | 16 Ogos 2015