Saturday, December 29, 2018

Firefly disaran tambah laluan domestik dan antarabangsa pada tahun 2019 - 2020

SYARIKAT penerbangan Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu yang dapat memastikan syarikat penerbangan milik penuh Penerbangan Malaysia (MAB) ini terus berkembang dan mencatatkan pertumbuhan pengendalian penumpang yang memberangsangkan. 

"Kegagalan" Firefly untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar, Singapura mulai 1 Disember lepas disebabkan kegagalannya mendapat  kelulusan dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bukan sahaja menjejaskan operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Subang - Singapura tetapi juga Ipoh - Singapura dan Kuantan - Singapura. 

Masalah atau isu kelulusan ini dijangka mengambil masa untuk diselesaikan oleh kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura. Hal ini kerana selagi isu sistem pendaratan instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar tidak dapat diselesaikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengikut apa yang disarankan CAAM, selagi itulah harapan untuk Firefly beroperasi di lapangan terbang kedua di Singapura ini tipis. 

Oleh itu, Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu untuk memastikan penggunaan angkatan pesawat komersialnya secara optimum. Hal ini kerana dengan penutupan laluan Firefly ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura mulai 1 Disember lepas, tiada lagi perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang ditawarkan Firefly dari atau ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS). 

Antara laluan yang boleh dibuka semula oleh Firefly ialah Subang - Medan, Kota Bharu - Johor Bahru, Pulau Pinang - Kuantan dan Pulau Pinang - Kuala Terengganu. 

Penerbangan Sambungan Melalui Pulau Pinang 

Firefly juga disaran supaya menawarkan perkhidmatan penerbangan sambungan melalui hab utaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) melibatkan laluan-laluan seperti berikut: -
  1. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Phuket (SZB-PEN-HKT)
  2. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Banda Aceh (SZB-PEN-BTJ)
  3. Kota Bharu - Pulau Pinang - Pulau Langkawi (KBR-PEN-LGK) 
  4. Kota Bharu - Pulau Pinang - Phuket (KBR-PEN-HKT)
  5. Kota Bharu - Pulau Pinang - Banda Aceh (KBR-PEN-BTJ) 
Perkhidmatan penerbangan sambungan melalui Pulau Pinang ini akan memudahkan seseorang penumpang contohnya dari Kota Bharu yang ingin ke Pulau Langkawi boleh transit di PIA berbanding di LTSAAS pada ketika ini. 

Lupakan Lapangan Terbang Melaka 

Setakat ini, hanya syarikat penerbangan Malindo Air yang beroperasi di Bandar Raya Melaka Bersejarah melalui laluan Melaka - Pulau Pinang dan Melaka - Pekanbaru. Syarikat penerbangan lain masih berkira-kira untuk beroperasi di Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang bukan sahaja sukar menarik penumpang tetapi juga ia tidaklah begitu jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Lebuh Raya Utara - Selatan (Lebuh Raya PLUS).

Pelbagai insentif telah ditawarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan beroperasi di LTM seperti pengurangan kadar caj perkhidmatan penumpang dan pengecualian caj pendaratan pesawat untuk tempoh beberapa tahun. Namun, LTM masih gagal menyakinkan syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia untuk beroperasi.

Jadi, Firefly boleh lupakan dahulu LTM dan memberi tumpuan kepada beberapa lapangan terbang lain untuk pengembangan laluan terutamanya LTSAAS, PIA, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (LTAS). 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

Malindo Air gantung laluan Kota Bharu - Surat Thani mulai 31 Disember 2018

SYARIKAT penerbangan Malindo Air akan menggantung laluan antarabangsa Kota Bharu - Surat Thani berkuat kuasa 31 Disember ini. 

Semakan melalui laman sesawang Malindo Air (www.malindoair.com) mendapati bahawa penjualan tiket telah dihentikan untuk penerbangan dari 31 Disember 2018 dan seterusnya. 

Sejak laluan ini diperkenalkan, pihak Malindo Air langsung tidak melakukan apa-apa promosi sama ada di laman sesawang rasminya mahupun di media-media massa. Hanya laporan media pada 17 September 2018 bersempena dengan penerbangan sulung laluan ini sahaja yang "mempromosikan" secara tidak langsung. 

Menurut maklumat yang diperoleh, laluan ini hanyalah laluan bermusim (seasonal) atau sewa khas sahaja bagi membolehkan pelancong asing yang ingin tinggal lebih lama di Surat Thani atau Koh Samui memperbaharui visa mereka di Konsulat Thailand di Kota Bharu, Kelantan sebelum terbang semula ke Surat Thani, Thailand pada keesokkan harinya. Mungkin itulah sebabnya penerbangan hanya ditawarkan dengan kekerapa dua kali seminggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan Selasa sahaja.

Penggantungan laluan ini menjadikan syarikat penerbangan Malindo Air hanya beroperasi bagi laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur-Subang (KBR-SZB) sahaja dari lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini. 

AirAsia Gantung Laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru

Dalam pada itu, syarikat penerbangan AirAsia pula telah menggantung laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru yang telah diperkenalkan sejak 22 Jun 2017 pada penghujung bulan November lepas. Laluan ini beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Faktor komersial dipercayai menjadi punca penggantungan laluan ini. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

Tuesday, December 4, 2018

Lapangan terbang baharu bakal dibina di selatan Perak, landasan LTSAS dipanjangkan kepada 2.5 km

IPOH: Kerajaan Perak merasakan terdapat keperluan membina lapangan terbang baharu di negeri ini bagi menyaingi pembangunan pesat tetapi mungkin tidak dibina di Seri Iskandar seperti dirancang kerajaan terdahulu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan lapangan terbang baharu itu kini dirancang dibina di selatan Perak iaitu di kawasan berhampiran dengan lebuh raya

“Oleh kerana negeri Perak sedang membangun dengan pantas, jadi kita memerlukan lapangan terbang yang baharu. 

“Ia mungkin tidak dibina di Seri Iskandar kerana kerajaan negeri memikirkan ia lebih sesuai kalau dibuat di selatan Perak yang lebih dekat dengan Lebuh Raya Utara - Selatan (PLUS),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laluan penerbangan Air Asia Singapura - Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat 

Ahmad Faizal berkata, pemilihan lokasi itu akan membuatkan Kerajaan Pusat atau negeri tidak perlu membina kemudahan laluan ke lapangan terbang baharu itu nanti. 

Selatan Perak bermakna ia mungkin dibina di Tapah, Bidor, Behrang atau Tanjung Malim membabitkan daerah Muallim atau Batang Padang,” katanya. 

Ditanya sama ada LTSAS mampu menampung peningkatan jumlah penumpang, beliau berkata, setakat ini hanya 50 peratus daripada kapasiti lapangan terbang itu digunakan sepenuhnya, namun terdapat perancangan untuk memanjangkan lagi landasan sedia ada dan menambah baik atau memperbesar bangunan terminal sedia ada. 

“Kerajaan negeri juga sudah menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk membuat beberapa tarikan lain di sekitar lapangan terbang ini yang kita sambut baik dan jangka akan dimulakan tahun depan,” katanya. 

Ahmad Faizal berkata, projek memanjangkan landasan itu dijangka tidak memerlukan kawasan perumahan berhampiran dipindahkan kerana hanya membabitkan kedua-dua hujung landasan dengan keseluruhan pemanjangan sebanyak 500 meter dan akan menjadikan landasan mempunyai jarak 2.5 kilometer

Sementara itu, bercakap mengenai laluan baharu penerbangan AirAsia Singapura - Ipoh, beliau mengalu-alukan usaha dilakukan syarikat penerbangan terbabit yang juga laluan kedua dilancarkan selepas laluan Johor Bahru - Ipoh dilancarkan Oktober lalu. 

“Kerajaan negeri percaya perkhidmatan penerbangan terus empat kali seminggu laluan baharu ini akan membantu merealisasi wawasan menjadikan Perak destinasi pelancongan utama di Malaysia dan akan berusaha memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik bagi menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” katanya. 

Riad pula berkata, sejak pelancaran laluan Johor Bahru - Ipoh dua bulan lalu, pihaknya sudah membawa hampir 10,000 penumpang yang terdiri daripada warganegara China, Indonesia, India dan Singapura. 

“Laluan baharu Singapura - Ipoh ini adalah usaha kami memperluas rangkaian di Ipoh dan berharap dapat menyumbang kepada peningkatan pelancong yang mana kami juga merancang meningkatkan kekerapan jadual laluan ini dari empat kali seminggu kepada tujuh kali seminggu pada tahun depan,” katanya.

Sumber: Harian Metro | 3 Disember 2018