Laluan penerbangan syarikat penerbangan Firefly dari dua hab utamanya, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang. |
Air Asia misalnya lebih awal membuat perubahan seawal suku keempat 2020 dengan merombak dan mempelbagaikan model perniagaan mereka yang kini turut terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan dengan jenama Air Asia Food dan perniagaan berasaskan kafe dan kedai barangan cenderamata (Santan). Laman sesawang rasmi Air Asia juga dirombak dan kini menjadi laman sesawang berkongsepkan platform gaya hidup digital.
Disebabkan sektor penerbangan antarabangsa terjejas teruk sejak penularan COVID-19, Air Asia juga telah mengubah model perniagaan mereka dengan menumpukan kepada sektor penerbangan domestik dengan membuka lebih banyak laluan baharu.
Pada hujung tahun lepas misalnya, Air Asia telah membuka empat laluan domestik baharu dengan mengembangkan hab mininya di sebelah Pantai Timur, iaitu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan. Empat laluan baharu tersebut ialah Kota Bharu - Pulau Langkawi, Kota Bharu - Pulau Pinang, Kota Bharu - Johor Bahru, dan Pulau Langkawi - Ipoh.
Air Asia kini terbang ke enam destinasi dari atau ke Kota Bharu, Kelantan, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Penerbangan Firefly pula akan kembali beroperasi dengan menggunakan pesawat jet jenis Boeing 737-800 (B737-800) mulai 25 Januari ini dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sebagai hab operasi utamanya bagi pesawat B737-800. Tiga laluan baharu bakal diperkenalkan, iaitu Pulau Pinang - Johor Bahru (3 kali sehari) dan Pulau Pinang - Kuching (sekali sehari) mulai 25 Januari 2021; dan Pulau Pinang - Kota Kinabalu (2 kali sehari) mulai 1 Februari 2021.
Operasi jet Firefly dijangka akan terus dikembangkan terutamanya melibatkan sektor yang bukan melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala Penerbangan Malaysia dijangka akan terus beroperasi bagi laluan domestik utama dan memberi tumpuan kepada laluan antarabangsa.