KULAI: Kerajaan Johor menyasarkan kedatangan sejuta pelancong China tahun ini dengan adanya laluan baharu yang diperkenalkan syarikat penerbangan AirAsia iaitu dari Guangzhou ke Johor Bahru.
Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata beliau yakin statistik kemasukan pelancong dari China akan meningkat, sekali gus merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini.
"Kita yakin jumlah kemasukan warga China ke Johor akan meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini seterusnya mampu merekodkan lebih sejuta orang," katanya kepada pemberita selepas menyambut penumpang penerbangan sulung dari Guangzhou ke Johor Bahru di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini Isnin.
Tee berkata AsiaAsia melakukan tindakan yang tepat dengan memperkenalkan laluan itu sejajar dengan peningkatan pelancong, peniaga dan pelabur dari China khususnya Guangzhou ke negeri ini.
Beliau berkata kemasukan pelancong dari China ke Johor menyaksikan peningkatan seramai 169,775 orang iaitu daripada 628,087 orang yang direkodkan pada 2014 kepada 797,862 orang, tahun lepas.
Katanya, penerbangan terus dari Guangzhou ke Johor Bahru yang tiba pada pukul 6.50 pagi ini, melibatkan 176 penumpang terdiri daripada majoriti warga China dari Guangzhou iaitu sebanyak 95 peratus manakala bakinya warga tempatan.
"Inisiatif ini dapat memendekkan jarak selama tiga jam dan memudahkan ketibaan rakyat kedua-dua bandar raya seterusnya membantu meningkatkan jalinan kerjasama dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pelaburan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, Md Derick Basir berkata pihaknya memperuntukan sebanyak RM7 juta untuk menaik taraf LTAS bermula Julai ini dan dijangka siap pada pertengahan Disember depan.
"Kerja naik taraf ini termasuk memisahkan bahagian domestik dan antarabangsa. Selepas pengubahsuaian, pintu satu dan dua akan dikhususkan untuk penerbangan antarabangsa manakala pintu tiga dan empat adalah untuk domestik," katanya.
Beliau berkata selain itu, sebanyak tujuh kaunter daftar masuk juga akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 23 kaunter, penstrukturan semula kaunter Imigresen serta penambahan 16 premis perniagaan runcit serta makanan dan minuman.
"Kami turut memasang papan tanda pelbagai bahasa antaranya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa asing lain bergantung kepada majoriti pengguna lapangan terbang ini, seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan LTAS bertaraf global," katanya.
Sumber: Bernama | 30 Mei 2016
No comments:
Post a Comment