SYARIKAT penerbangan Malindo Air dijangka menyambung semula laluan penerbangan Kota Bharu - Bandar Raya Melaka yang digantung sejak Oktober 2015 pada pertengahan bulan Mac 2017 bersempena cuti persekolahan yang dijadualkan bermula pada 17/18 Mac 2017.
Laporan Bernama bertarikh 20 November 2016 dan disiarkan beberapa buah akhbar termasuk Utusan Malaysia sehari selepas itu menyebut bahawa laluan ini akan disambung semula pada tahun hadapan.
Malindo Air dijangka membuka jualan tiket bagi laluan ini seawal bulan Januari tahun hadapan dengan menawarkan perkhidmatan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi laluan ini.
Penerbangan bagi laluan ini dijangka menggunakan pesawat dari Kota Bharu terbang ke Bandar Raya Melaka dan dari Bandar Raya Melaka terbang semula ke Kota Bharu menggunakan pesawat jenis ATR72-600 dengan 72 tempat duduk.
Laluan ini dijangka mendapat sambutan yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya dan diharap berkekalan untuk kemudahan rakyat kedua-dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Melaka.
Laluan ini juga sebenarnya dapat memberi manfaat kepada penduduk beberapa daerah di sebelah utara negeri Johor seperti Muar dan Tangkak yang juga boleh mengambil penerbangan ke Kelantan melalui Lapangan Terbang Melaka yang terletak di Batu Berendam, Melaka.
Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com
No comments:
Post a Comment