Sunday, December 18, 2016

Projek naik taraf dan pembesaran LTSIP bermula Julai 2017

Kesibukan ruang parkir pesawat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan. Foto ihsan: Muhd Aizat bin Mohd Zain
KUALA LUMPUR: Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan akan bermula pada Julai 2017 dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, iaitu pada Julai 2020. 

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi, projek naik taraf dan pembesaran ini melibatkan pembesaran bangunan terminal penumpang, menambah petak parkir pesawat, pembesaran apron, kompleks tempat letak kereta bertingkat, dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan. 

Pembesaran bangunan terminal penumpang merupakan skop utama projek yang melibatkan pembesaran bangunan terminal penumpang untuk menampung sehingga empat juta penumpang setahun berbanding kapasiti 1.5 juta penumpang setahun yang mampu ditampung oleh bangunan terminal penumpang sedia ada. 

Bangunan terminal baharu LTSIP dijangka lebih kecil sedikit saiznya berbanding bangunan terminal penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di bandar raya Kuching, Sarawak yang mampu menampung sehingga lima juta penumpang setahun. 

Pada ketika ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam proses memuktamadkan konsep reka bentuk dan penyediaan dokumen tender, manakala tender kerja dijangka akan dipelawa pada pertengahan bulan Januari 2017. 

Jumlah peruntukan yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek ini adalah sebanyak RM450 juta. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment