Sunday, March 4, 2018

Naik taraf LTSAH pemangkin sektor pelancongan Kedah

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang bakal dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa.
ALOR SETAR: Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) kepada lapangan terbang antarabangsa akan merancakkan sektor pelancongan di negeri ini. 

Ini termasuk pertambahan kedatangan pelancong luar terus ke Kedah atau negeri sekitarnya. 

Pihak berkaitan industri pelancongan di Kedah berpendapat penerbangan terus dari luar negara ke LTSAH mampu menarik kunjungan pelancong membabitkan 'pasaran baharu' khususnya dari negara jiran ke Alor Setar.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Kedah/Perlis, Eugene Dass, berkata inisiatif kerajaan yang mahu menaik taraf LTSAH berupaya melonjakkan kembali industri perhotelan khususnya di Alor Setar yang kelihatan agak perlahan sebelum ini

Beliau berkata, ini kerana Kedah berupaya mendapatkan pelancong dalam segmen baharu khususnya dari negara jiran untuk terus datang ke Alor Setar tanpa perlu transit di lapangan terbang lain. 

Katanya, perkhidmatan penerbangan terus boleh diwujudkan membabitkan laluan dari negara jiran khususnya Thailand, selain Singapura dan Indonesia ke LTSAH. 

"Amat penting kerajaan mewujudkan perkhidmatan penerbangan terus melalui inisiatif naik taraf lapangan terbang ini kerana sebelum ini mereka agak keberatan untuk berkunjung ke Alor Setar kerana terpaksa turun di Langkawi atau Pulau Pinang. 

"Selepas itu mereka perlu mencari pengangkutan darat pula untuk ke Alor Setar tetapi dengan naik taraf ini dan penerbangan terus, kita mampu menarik pelancong baharu dari negara jiran untuk ke sini, " katanya. 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan LTSAH akan dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang yang dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Strategik Negeri Kedah 2019-2035. 

Pada masa sama, Eugene berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat pelancong dari negara jiran berminat untuk berkunjung ke tanah besar Kedah dengan tarikan semula jadi seperti di Gunung Jerai dan Lembah Bujang. 

Namun katanya, ketiadaan perkhidmatan penerbangan secara terus ke Alor Setar menyebabkan hasrat mereka terbantut dan ia ternyata merugikan industri pelancongan di negeri ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Kedah, Zainudin Kadir, pula berkata naik taraf LTSAH kepada lapangan terbang antarabangsa amat tepat pada masanya kerana ia berupaya menjadi penghubung tanah besar Kedah kepada dunia luar. 

Ini kerana, katanya, selama ini tanah besar Kedah umpama 'tersembunyi' daripada pelancong luar sedangkan terdapat banyak produk pelancongan menarik berasaskan pelancongan eko. 

"Kita ada Sungai Sedim, Gunung Jerai dan Sungai Merbok iaitu berasaskan ekopelancongan yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari China, Arab serta Eropah, " katanya.

Sumber: Berita Harian Online | 4 Mac 2018

No comments:

Post a Comment