Wednesday, May 22, 2019

Jualan GTG: Jom naik Scoot dari Kota Bharu ke Singapura dengan tawaran tambang serendah RM69.00 sehala

Scoot sedang mengadakan Jualan Got To Go dari 21 – 23 Mei 2019.
SYARIKAT penerbangan Scoot Tigerair Pte. Ltd. (Scoot) dari Singapura sedang menawarkan promosi tambang melalui Jualan GTG (Got To Go Sale/GTG Sale) untuk lebih 50 destinasi dari atau ke Singapura termasuk laluan baharu Singapura – Kota Bharu (SIN-KBR). Jualan ini bermula dari 21 – 23 Mei 2019.  

Tambang dari Kota Bharu ke Singapura misalnya ditawarkan dari RM69.00 sehala, manakala tambang dari Singapura ke Kota Bharu ditawarkan dari RM184.85 sehala bagi perjalanan dari 2 Julai sehingga 25 Oktober 2019*. 

Laluan baharu Singapura – Kota Bharu ini akan mula beroperasi dari 2 Julai 2019 dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Ahad, Selasa, dan Jumaat

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Scoot, iaitu www.flyscoot.com atau ikuti laman sesawang Facebook syarikat penerbangan ini melalui pautan berikut:- www.facebook.com/flyscoot atau www.facebook.com/flyscootmy

Nota: *Setakat ini tempahan tiket hanya dibuka untuk perjalanan dari 2 Julai sehingga 25 Oktober 2019 sahaja. Tempahan untuk perjalanan selepas 25 Oktober 2019 dijangka dibuka untuk jualan tidak lama lagi.  

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Saturday, May 11, 2019

Firefly kini terbang ke 11 destinasi utama digesa sambung semula laluan Kota Bharu – Johor Bahru

Peta laluan penerbangan terkini Firefly setakat 11 Mei 2019. Sumber: www.fireflyz.com.my
SYARIKAT penerbangan Firefly kini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke 11 destinasi domestik dan antarabangsa termasuk penerbangan ke Singapura melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Seletar (XSP) yang telah dimulakan pada 21 April 2019 yang lepas. 

11 destinasi tersebut merangkumi lapan destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa. Sembilan destinasi domestik tersebut ialah Kuala Lumpur (Subang), Pulau Pinang, Kota Bharu, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Alor Setar, Pulau Langkawi, dan Kuantan, manakala tiga destinasi antarabangsa merangkumi Singapura (Seletar), Banda Aceh, dan Pulau Phuket. 

Pada ketika ini Firefly beroperasi dengan 12 pesawat jenis ATR72-500 dengan 72 tempat duduk melalui hab Wilayah Tengah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor; dan hab Wilayah Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

Firefly digesa sambung semula laluan Kota Bharu – Johor Bahru

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Firefly digesa supaya dapat menyambung semula laluan Kota Bharu – Johor Bahru (KBR-JHB) yang digantung beberapa tahun lepas untuk kemudahan rakyat Kelantan, Johor, dan juga Terengganu yang sering berulang-alik antara kedua-dua bandar raya tersebut. Tambahan pula, ramai rakyat Kelantan yang menetap di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, dan Kulai yang sering berulang-alik antara Johor Bahru – Kota Bharu dengan bas dan kereta api ekspres yang memakan masa melebihi 12 jam. 

Buat permulaan, Firefly boleh menawarkan penerbangan dengan kekerapan tiga kali seminggu pada setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat. Sokongan ke atas laluan ini boleh dilihat melalui laman sesawang Facebook Laluan Kota Bharu – Johor Bahru melalui pautan www.facebook.com/laluankbjb

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Malindo Air mungkin tambah kekerapan penerbangan laluan Kota Bharu – Bandar Raya Melaka tidak lama lagi

SYARIKAT penerbangan Malindo Air dijangka akan menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kota Bharu – Bandar Raya Melaka (KBR-MKZ) daripada tiga kali seminggu yang ditawarkan pada ketika ini kepada tujuh kali seminggu tidak lama lagi. 

Berdasarkan Buletin Hak-hak Trafik Udara (April 2019) yang diterbitkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Malindo Air telah diberikan tambahan hak trafik udara dengan tambahan empat lagi penerbangan seminggu oleh MAVCOM berbanding tiga kali seminggu yang diluluskan sebelum ini. Kelulusan baharu tersebut adalah sah mulai bulan Mei 2019. 

Dengan kata lain, Malindo Air mempunyai perancangan untuk menambah kekerapan penerbangan bagi laluan yang menghubungkan bandar raya terbesar di Pantai Timur dengan bandar raya kedua terbesar di Wilayah Selatan ini. 

Pada ketika ini, Malindo Air menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Bandar Raya Melaka dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat sejak 1 Mac lepas. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Firefly tawar penerbangan tambahan bagi laluan Kota Bharu – Subang Kuala Lumpur sempena sambutan Aidilfitri awal bulan depan

SYARIKAT penerbangan Firefly menawarkan perkhidmatan penerbangan tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan depan bagi laluan Kota Bharu – Subang (Kuala Lumpur). 

Penerbangan tambahan tersebut ditawarkan pada tarikh-tarikh seperti berikut: - 
  1. 31 Mei 2019 (Jumaat)
  2. 01 Jun 2019 (Sabtu)
  3. 02 Jun 2019 (Ahad)
  4. 04 Jun 2019 (Selasa)
  5. 08 Jun 2019 (Sabtu)
  6. 09 Jun 2019 (Ahad)

Nota: Sila klik pada infografik di atas untuk paparan jadual penerbangan yang lebih jelas. 
Firefly merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang beroperasi melalui hab Wilayah Tengah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Shah Alam, Selangor; dan hab Wilayah Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

Selain laluan Kota Bharu – Subang, Firefly juga menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Pulau Pinang dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada sebelah pagi dan lewat petang. 

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang rasmi Firefly, iaitu www.fireflyz.com.my

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

AirAsia tawar penerbangan tambahan laluan KB-KK dan KB-Kuching sempena sambutan Aidilfitri awal bulan depan

SYARIKAT penerbangan AirAsia menawarkan perkhidmatan penerbangan tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan depan bagi laluan Kota Bharu – Kota Kinabalu (KBR-BKI) dan Kota Bharu – Kuching (KBR-KCH) dari 31 Mei sehingga 16 Jun 2019. 

Perkhidmatan penerbangan tambahan ini adalah tambahan kepada perkhidmatan berjadual yang ditawarkan pada setiap hari SELASA, KHAMIS, dan SABTU bagi kedua-dua laluan yang telah beroperasi sejak lebih lima tahun yang lalu. 

Tarikh-tarikh penerbangan tambahan bagi laluan  Kota Bharu – Kota Kinabalu dan Kota Bharu – Kuching adalah seperti berikut: - 
  1. 31 Mei 2019 (Jumaat)
  2. 02 Jun 2019 (Ahad)
  3. 03 Jun 2019 (Isnin)
  4. 07 Jun 2019 (Jumaat)
  5. 09 Jun 2019 (Ahad) 
  6. 10 Jun 2019 (Isnin)
  7. 14 Jun 2019 (Jumaat)
  8. 16 Jun 2019 (Ahad)
Anak-anak Kelantan, Terengganu, dan warga selatan Thailand yang menetap di Malaysia Timur  terutamanya di bandar-bandar raya Kota Kinabalu dan Kuching bolehlah memanfaatkan tawaran ini untuk pulang berhari raya bersama keluarga dan sanak-saudara serta sahabat-handai di kampung halaman dengan perkhidmatan penerbangan terus Kota Bharu – Kota Kinabalu dan Kota Bharu – Kuching ini. 

Dalam pada itu, sama seperti tahun-tahun sebelumnya syarikat penerbangan AirAsia juga menawarkan perkhidmatan penerbangan tambahan bagi laluan Kota Bharu – Kuala Lumpur (KBR-KUL). Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang www.airasia.com

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com