Thursday, March 4, 2021

Projek pembesaran LTSIP bermula April ini

Dato' Seri Mustapa Mohamed
KOTA BHARU
: Selepas berpuluh-puluh tahun merayu dan menunggu akhirnya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa akan memulakan projek pembesaran dan naik taraf bermula April ini.

Sedangkan sebelum ini komitmen membesarkan lapangan terbang itu dilulus ketika zaman Barisan Nasional (BN), namun tidak menjadi kenyataan.

Malah pada 7 Mac 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menyenaraikan lapangan tersebut akan dinaik taraf sebagai lapangan terbang serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata projek naik taraf lapangan terbang itu mencecah kos RM440 juta.

Katanya LTSIP merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini. “Pada tahun 2019 lapangan terbang tersebut mengendalikan 1.8 juta penumpang. Sedangkan kapasiti LTSIP sekarang hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang sahaja,” katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Oleh itu, kata beliau LTSIP perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.

Menurutnya kerajaan bersetuju melantik WCT Bhd sebagai kontraktor projek tersebut dan projek berkenaan dijadual siap pada pertengahan 2024.

“Komponen utama projek tersebut melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina (design and build) dengan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan.

“Apabila siap kelak bangunan terminal baharu ini mampu mengendalikan empat juta orang penumpang setahun,” ujarnya.

Selain itu projek terbabit juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat, manakala jambatan udara (aerobridge) akan ditambah sebanyak lima lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan.

Sumber: Harakah Daily | 1 Mac 2021

No comments:

Post a Comment