Wednesday, September 3, 2014

Rayani Air mula operasi domestik mulai Januari tahun depan

MELAKA: Syarikat penerbangan baharu, Rayani Air Sdn. Bhd. (Rayani Air) dijangka memulakan operasinya di Lapangan Terbang Melaka (LTM) Batu Berendam di sini, Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan operasi di lapangan terbang berkenaan dengan buat permulaan menggunakan dua pesawat jenis Fokker-ATR 72.

Menurutnya, menerusi persetujuan bersama antara Rayani Air dengan kerajaan negeri, sebanyak lima laluan turut diperkenalkan termasuklah Melaka - Pulau Pinang - Melaka, Melaka - Langkawi - Melaka, Melaka - Kota Bharu - Melaka, Melaka - Kuching - Melaka dan Melaka - Kota Kinabalu - Melaka.

“Rayani Air bakal menampilkan kelainan dari segi perkhidmatan agar tidak membebankan pengguna malah menawarkan tiket pada harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Pelancongan Antarabangsa Melaka (MITS) Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Melaka 2014 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad dan Presiden MATTA Malaysia, Hamzah Rahmat.

Jelas Ravi, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum boleh memulakan operasi.

“Sehingga kini, syarikat memperoleh Permit Perkhidmatan Udara (ASP) namun untuk memulakan operasi penerbangan, kita memerlukan ASL dan diharap ia dapat diluluskan dalam masa terdekat," ujarnya.

Sementara itu, Idris ketika ditemui memberitahu, Rayani Air akan menggunakan LTM sebagai destinasi utama bagi laluan domestik ke semua lima destinasi tersebut.

“Rayani Air dijangka mampu menghidupkan kembali operasi penerbangan di LTM seterusnya merancakkan sektor pelancongan negeri dengan menjadikan Melaka sebagai pusat transit pelancongan selatan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 23 Ogos 2014 | Terbitan 24 Ogos 2014

2 comments:

  1. assalamualaikum kerja kosong bahagian lauggage di airport kota bharu msih ad kosong x???lau ad cara nak pohon mcm mna erk...

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum....kerja kosong bhagian lauggage airport kota bharu msih ad kekosngn lgi ke??klau ad mcm mna cara nk pohon kerja erk...

    ReplyDelete