KOTA BHARU: Syarikat penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) telah merintis semula laluan Kota Bharu - Ipoh dengan pelancaran perkhidmatan penerbangan sulung dari Ipoh ke Kota Bharu dan dari Kota Bharu ke Ipoh hari ini.
Penerbangan sulung OD1725 dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS) telah berlepas pada jam 13:43 dan telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 14:22. Penerbangan ini mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja berbanding 1 jam 10 minit mengikut jadual masa (timing) asal.
Penerbangan sulung OD1726 dari Kota Bharu ke Ipoh pula, telah berlepas pada jam 15:18 melalui landasan nombor 10 dan telah selamat mendarat di Ipoh pada jam 16:03.
Sebelum ini, syarikat penerbangan Silver Fly pernah menawarkan perkhidmatan bagi laluan ini mulai Mac 2010 tetapi dihentikan perkhidmatannya tidak lama selepas itu setelah syarikat penerbangan ini menutup operasi.
Selain laluan Kota Bharu - Ipoh, terdapat permintaan yang lagi tinggi bagi perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Alor Setar dan Pulau Langkawi. Permintaan ini disuarakan anak-anak perantau Kelantan yang menetap di negeri Kedah dan Perlis yang mahukan perkhidmatan penerbangan terus diadakan.
Perkhidmatan penerbangan terus Kota Bharu - Alor Setar juga akan dapat memudahkan pergerakan pelajar kedua-dua dua hala terutamanya yang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Laluan ini bukan sahaja dapat menampung permintaan bagi pasaran negeri Kedah tetapi juga negeri Perlis yang tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang. Penduduk Perlis biasanya menggunakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar untuk mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur.
Manakala perkhidmatan penerbangan Kota Bharu - Pulau Langkawi dapat menampung permintaan daripada pelancong domestik dan antarabangsa terutamanya yang ingin ke Pulau Perhentian melalui Kota Bharu.
Satu lagi fakta yang tidak boleh disangkal lagi adalah orang Kelantan sememangnya suka melancong sama ada di dalam mahupun di luar negara lebih-lebih lagi Pulau Langkawi yang menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di negara ini, selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Pahang, Sabah, dan Sarawak.
Perkhidmatan penerbangan terus ke Pulau Langkawi bukan sahaja dapat merancakkan industri pelancongan Kedah tetapi juga Kelantan dan Terengganu melalui Pulau Perhentian.
Oleh itu, Malindo Air diharap dapat memperkenalkan laluan-laluan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi pada tahun ini.
Nota: Silalah "like" (menjadi ahli) bagi laman kempen ini sebagai tanda sokongan anda ke atas cadangan pembukaan laluan penerbangan Kota Bharu - Alor Setar dan Kota Bharu - Pulau Langkawi:-
- Laluan Penerbangan Kota Bharu - Alor Setar: www.facebook.com/laluankbas
- Laluan Penerbangan Kota Bharu - Pulau Langkawi: www.facebook.com/laluankblangkawi
No comments:
Post a Comment