Sunday, December 17, 2017

AirAsia tidak jadi operasi dari Lapangan Terbang Melaka?

LAPORAN media utama pada bulan Mei dan Julai 2017 lepas melaporkan bahawa syarikat penerbangan AirAsia bakal beroperasi dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) di Batu Berendam, Melaka mulai Oktober atau November (2017) yang lepas. 

Laporan tersebut antara lain mengatakan bahawa AirAsia akan menawarkan beberapa laluan domestik dan antarabangsa dari lapangan terbang ini. 

Namun begitu, setelah memasuki bulan Disember 2017, ramai yang menyedari bahawa rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan dan menimbulkan pelbagai persoalan. 

Antaranya, pihak AirAsia tidak pernah mengumumkan bahawa mereka akan beroperasi dari lapangan terbang itu tetapi hanya Ketua Menteri Melaka atau exco kerajaan negeri sahaja yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Jadi, adakah kenyataan Ketua Menteri Melaka atau exco kerajaan negeri tersebut boleh diterima pakai? 

Sebarang pengumuman sepatutnya berdasarkan maklumat yang sahih atau sesuatu yang benar-benar dapat dilaksanakan. 'Insiden' seperti ini bukanlah kali pertama melibatkan lapangan terbang ini. 

Setakat ini, hanya dua buah syarikat penerbangan yang beroperasi dari LTM, iaitu Malindo Air dan XpressAir yang menawarkan penerbangan dari Bandar Raya Melaka ke Pulau Pinang dan Pekanbaru. Malindo Air diharap dapat membuka beberapa laluan lagi dari LTM terutamanya laluan Bandar Raya Melaka - Kota Bharu. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment