BATU BERENDAM - Melaka Air Sdn Bhd (Melaka Air) merancang untuk memajak pesawat dari syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) dalam usaha mengembangkan perkhidmatan penerbangan ke beberapa destinasi baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, usaha syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri itu kini masih pada peringkat perbincangan dengan PMB.
“Diharap dalam tempoh setahun ini, Melaka Air dapat memajak pesawat dan mengadakan penerbangan tetap dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) ke beberapa destinasi domestik serta negara Asean.
“Perbincangan sedang dilakukan dengan PMB untuk memajak dua pesawat daripada syarikat berkenaan yang dijangka dapat diselesaikan menjelang Februari tahun depan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM), di sini.
Karnival tiga hari berakhir semalam, mempamerkan hampir 100 pesawat pelbagai jenis dan disertai 352 peserta dari dalam serta luar negara. Mohd Ali berkata, Melaka Air juga bercadang membuka perkhidmatan laluan baru dari LTM ke Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah sebelum dikembangkan ke Macau dan Hong Kong.
"Sejak laluan dari LTM ke Pulau Pinang menggunakan pesawat Firefly Sdn Bhd (Firefly) diperkenal April lalu, jumlah penumpang ke destinasi berkenaan meningkat dalam tempoh dua bulan pertama operasi. “Penerbangan ke Pulau Pinang kini meningkat dengan 60 penumpang sehari kerana ia destinasi terbaik bagi mereka yang mahu ke negeri di utara,” katanya.
Menurutnya, dijangka seramai 32,000 pelancong datang ke Melaka menggunakan perkhidmatan udara tahun ini berbanding 22,000 tahun lalu kerana sehingga Jun, seramai 17,000 pelancong direkodkan memasuki negeri ini melalui laluan udara.
SOURCE: Sinar Harian (Malacca & Negeri Sembilan Edition) | 16 July 2012 |