Friday, April 27, 2012

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dicadang dinaik taraf


KOTA BHARU 26 April - Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa bagi penerbangan tambang murah

Pengerusi Matta, Datuk Mohd Khalid Harun berkata cadangan itu akan dikemukakan secepat mungkin berikutan pergerakan trafik udara di lapangan terbang tersebut adalah yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Lapangan terbang ini juga berada di kawasan yang strategik kerana berdekatan dengan Thailand, Myanmar dan beberapa negara Asean lain serta mampu menjadi hab penerbangan yang baru di Pantai Timur," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Matta Fair 2012 di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata pengusaha pelancongan di Kelantan dan negeri lain mahukan lapangan terbang ini dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa, yang melonjakkan industri pelancongan di negeri ini dan Malaysia. "Ini penting untuk industri pelancongan, terutama kepada pengusaha pelancongan dan mereka juga boleh membantu dalam mempromosikan aktiviti ini ke peringkat antarabangsa.

"Jika perkara ini berlaku akan memberi satu kejutan kepada industri pelancongan di Kelantan dan akan membuka lebih banyak ruang kepada pelancong luar untuk mengenali negeri ini," katanya. Lapangan terbang ini kini mengendalikan 46 penerbangan pada setiap hari, menjadikannya lapangan terbang paling sibuk di Pantai Timur, dengan laluan penerbangan Kota Baharu-Kuala Lumpur, Kota Baharu-Pulau Pinang dan Kota Baharu-Johor Baharu. - BERNAMA

SOURCE: Utusan Malaysia/BERNAMA | 26 April 2012 | 

No comments:

Post a Comment