KOTA BHARU 26 April - Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan
Pengembaraan Malaysia (Matta) akan mencadangkan kepada Kementerian
Pengangkutan supaya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan
Chepa di sini, dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa bagi
penerbangan tambang murah.
Pengerusi Matta, Datuk Mohd Khalid Harun berkata cadangan itu akan
dikemukakan secepat mungkin berikutan pergerakan trafik udara di
lapangan terbang tersebut adalah yang kedua tertinggi di Malaysia
selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Lapangan terbang ini juga berada di kawasan yang strategik kerana
berdekatan dengan Thailand, Myanmar dan beberapa negara Asean lain serta
mampu menjadi hab penerbangan yang baru di Pantai Timur," katanya
kepada pemberita selepas majlis perasmian Matta Fair 2012 di sini, hari
ini.
Mohd Khalid berkata pengusaha pelancongan di Kelantan dan negeri lain
mahukan lapangan terbang ini dinaik taraf sebagai lapangan terbang
antarabangsa, yang melonjakkan industri pelancongan di negeri ini dan
Malaysia. "Ini penting untuk industri pelancongan, terutama kepada pengusaha
pelancongan dan mereka juga boleh membantu dalam mempromosikan aktiviti
ini ke peringkat antarabangsa.
"Jika perkara ini berlaku akan memberi satu kejutan kepada industri
pelancongan di Kelantan dan akan membuka lebih banyak ruang kepada
pelancong luar untuk mengenali negeri ini," katanya. Lapangan terbang ini kini mengendalikan 46 penerbangan pada setiap
hari, menjadikannya lapangan terbang paling sibuk di Pantai Timur,
dengan laluan penerbangan Kota Baharu-Kuala Lumpur, Kota Baharu-Pulau
Pinang dan Kota Baharu-Johor Baharu. - BERNAMA
SOURCE: Utusan Malaysia/BERNAMA | 26 April 2012 |
No comments:
Post a Comment