Wednesday, October 28, 2020

AirAsia buka tiga laluan baharu sekali gus dari Kota Bharu mulai 8 Disember 2020


SYARIKAT
penerbangan AirAsia akan membuka tiga (3) laluan baharu sekali gus dari atau ke Kota Bharu, Kelantan mulai 8 Disember 2020. Tiga laluan tersebut ialah Kota Bharu – Johor Bahru (KBR-JHB), Kota Bharu – Pulau Langkawi (KBR-LGK), dan Kota Bharu – Pulau Pinang (KBR-PEN). 

Penerbangan AK6203 dari Johor Bahru ke Kota Bharu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada jam 12:00 dan dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 13:15, manakala penerbangan AK6204 dari Kota Bharu ke Johor Bahru dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada jam 13:40 dan dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 14:55. 

Penerbangan AK6289 dari Kota Bharu ke Pulau Langkawi pula dijadualkan berlepas dari LTSIP pada jam 12:10 dan dijadualkan tiba di Pulau Langkawi pada jam 13:10, manakala penerbangan AK6288 dari Pulau Langkawi ke Kota Bharu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada jam 13:55 dan dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 14:35. 

Sementara itu, penerbangan AK6152 dari Pulau Pinang (George Town) ke Kota Bharu pula dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada jam 11:00 dan dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 12:00, manakala penerbangan AK6153 dari Kota Bharu ke Pulau Pinang dijadualkan berlepas dari LTSIP pada jam 12:25 dan dijadualkan tiba di George Town, Pulau Pinang pada jam 13:20. 

Ketiga-tiga laluan baharu ini beroperasi dengan kekerapan tiga (3) kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Tiket-tiket penerbangan telah mula dijual mulai hari ini (28 Oktober 2020) untuk perjalanan dari 8 Disember 2020 sehingga 27 Mac 2021. 

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang www.airasia.com

AIRASIA RANCANG BUKA LALUAN DARI KOTA BHARU KE JOHOR BAHRU, PULAU LANGKAWI, DAN PULAU PINANG PADA HUJUNG TAHUN INI

Logo baharu syarikat penerbangan AirAsia yang telah dilancarkan pada 8 Oktober 2020 yang lalu. 

KUALA LUMPUR
: Menurut artikel yang diterbitkan di routesonline.com bertarikh 20 Oktober 2020, syarikat penerbangan AirAsia dilaporkan sedang merancang untuk membuka tiga laluan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan pada hujung tahun ini.

Tiga laluan tersebut ialah Kota Bharu – Johor Bahru, Kota Bharu – Pulau Langkawi, dan Kota Bharu – Pulau Pinang dengan kekerapan masing-masing sehingga tiga kali seminggu. Penerbangan tiga kali seminggu ini dijangka ditawarkan pada setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu.


Ketika laporan ini ditulis, syarikat penerbangan AirAsia masih belum membuat pengumuman rasmi dan dijangkakan jualan tiket akan mula dibuka tidak lama lagi.

Pada ketika ini, AirAsia menawarkan perkhidmatan penerbangan harian dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan penerbangan tiga kali seminggu dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu dan Kuching.

LOGO DAN SLOGAN IKLAN BAHARU

Pengurusan AirAsia telah melancarkan logo baharu syarikat penerbangan ini pada 8 Oktober 2020 yang lepas. Dalam masa yang sama, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia ini juga telah menukar slogan iklan (tagline) mereka daripada “Now Everyone Can Fly” (Kini Sesiapapun Boleh Terbang) kepada “For Everyone” (Untuk Semua).

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang rasmi AirAsia, iaitu www.airasia.com.