Semakan dasar daftar masuk bagasi MAS bermula 28 Mei ini. |
KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menyemak semula dasar bagasi daftar masuknya, berkuatkuasa 28 Mei ini.
Mulai tarikh berkenaan, penumpang dibenarkan mendaftar masuk maksimum
dua bagasi percuma, masing-masing seberat 30 kilogram (kg) untuk kelas
Ekonomi, 40 kg (Bisnes) dan 50 kg (Kelas Satu).
Syarikat penerbangan negara itu juga menyemak semula beberapa kadar
baharu untuk bayaran bagasi berlebihan muatan mengikut kadar blok setiap
5 kg.
Untuk perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kadar
baharu ialah RM45, antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak (RM55),
Asean (RM70), Asia Selatan/China (RM100), Asia Utara/Australia, New
Zealand dan Timur Tengah (RM115) dan Eropah RM170.
"Semakan semula itu terpakai untuk semua tiket, tanpa mengira tarikh
dikeluarkan untuk perjalanan dari 28 Mei, 2014 dan seterusnya," kata MAS
dalam satu kenyataan.
Ia berkata peruntukan bagasi bayi yang kini 10 kg satu dan pengangkutan air Zamzam dari tanah suci, tidak berubah.
Bagi penumpang yang mengerjakan Umrah dan Haji, peruntukan khas 10
kilogram setiap botol 10 liter air Zamzam dibenarkan dari Jeddah-Kuala
Lumpur dan destinasi seterusnya.
Peruntukan itu adalah tambahan kepada Elaun Bagasi Percuma dua bagasi
setiap satu seberat 50 kg untuk Kelas Satu, dua beg setiap satu 40 kg
untuk Kelas Bisnes dan dua beg setiap satu 30 kg bagi Kelas Ekonomi.
Ahli Enrich dan Oneworld layak memperoleh berat muatan tambahan berdasarkan status keahlian mereka.
Sumber: mStar Online | 26 Mei 2014