KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terbaharu Malaysia, iaitu Rayani Air melancarkan kempen pelekat kereta di Kelantan dari 5 - 6 Disember 2014 bertempat di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.
Kempen ini merupakan salah satu strategi pemasaran Rayani Air untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang produk yang bakal ditawarkan oleh mereka nanti.
Pemilik kereta yang mengambil bahagian berpeluang untuk mendapatkan baucer tiket penerbangan pergi balik secara percuma selepas enam bulan menampal pelekat di badan kereta masing-masing.
Foto ihsan: Rayani Air |
Melalui kempen ini, pemilik kereta bukan sahaja boleh memilih mana-mana penerbangan tetapi juga mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana tarikh penerbangan yang mereka sukai.
Kelantan dipilih sebagai lokasi kedua kempen selepas Melaka dengan mengambil kira kuasa beli rakyat Kelantan yang tinggi lebih-lebih lagi Rayani Air turut bercadang untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai hab Pantai Timurnya.
Rayani Air yang berpangkalan dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) bercadang untuk mengadakan perkhidmatan penerbangan terus dari Melaka (MKZ) ke Kota Bharu (KBR), Pulau Pinang (PEN), Langkawi (LGK), Kota Kinabalu (BKI), dan Kuching (KCH) mulai Mac 2015.
Dari segi perancangan, LTM akan menjadi hab utama Rayani Air di Malaysia, manakala LTSIP dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) masing-masing sebagai hab kedua dan ketiganya.
Rayani Air dijadual menerima dua buah pesawat pada Mac 2015, manakala masing-masing sebuah pesawat yang akan diterima pada bulan Jun dan Oktober 2015.