Friday, April 27, 2012

Firefly Buka Laluan Kota Bharu - Johor Bahru


Para penumpang yang menaiki penerbangan pertama syarikat penerbangan komuniti itu pagi ini dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu telah diberikan sambutan setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius M.C. Ong berkata penerbangan terus, tiga kali seminggu, dengan perjalanan mengambil masa satu jam dan 40 minit, menyediakan keselesaan kepada para pengembara. "Kami menawarkan penyelesaian terbaik untuk pengembara riadah dan perniagaan yang perlu tiba ke destinasi masing-masing dengan cepat dan selamat," kata beliau dalam satu kenyataan, Khamis.

Selain daripada itu, beliau berkata kemudahan daftar masuk web Firefly juga merupakan daya penarik kepada para pengembara kerana ini membolehkan mereka mendaftar masuk dengan selesa dari rumah ataupun pejabat dan mencetak sendiri pas pelepasan mereka.

"Banyak masa boleh dijimatkan dengan tidak perlu beratur daftar masuk dan ini membolehkan penumpang menghabiskan lebih banyak masa di destinasi mereka," tambah Ong. Bagi mempromosikan laluan ini dan laluan lain di rangkaian Firefly, syarikat penerbangan itu pada masa ini mengadakan promosi dalam talian untuk tempahan sehingga 6 Mei, 2012 untuk perjalanan dari 7 Mei hingga 30 Jun, 2012. Syarikat penerbangan itu turut menyertai Pameran Matta di Kota Bharu Mall mulai esok hingga 29 April.

SOURCE: BERNAMA | 26 April 2012 | 

No comments:

Post a Comment