Thursday, July 17, 2014

AirAsia ingin kembali ke Eropah dan perkenal laluan antarabangsa Kota Bharu - Bandung

FARNBOROUGH (London): AirAsia berharap untuk kembali semula ke Eropah dan mengembangkan operasinya di rantau itu susulan tempahan sebanyak 50 pesawat A330-900neo.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata pesawat A330neo itu akan membolehkan syarikat penerbangan tambang rendah tersebut memasuki semula London dan juga mengembangkan operasinya ke negara Eropah lain.

"Saya suka untuk terbang kembali ke London dan dengan A330neo kemungkinannya adalah besar," katanya kepada pemberita selepas majlis permeterian dengan Airbus bagi tempahan 50 pesawat A330neo, di sini, Rabu.

AirAsia, menerusi AirAsia X, sebelum ini terbang ke Paris dan London, menawarkan penerbangan sambungan daripada laluannya di Australia, tetapi menamatkan laluan-laluan ini pada 2012.

Fernandes berkata pesawat A330neo memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik dan akan menjadikan AirAsia X lebih kukuh, mengembangkan laluan menerusi habnya di Bangalore ke Eropah dan Afrika, serta, menghubungkan Jepun ke Amerika Selatan.

Beliau berkata AirAsia akan mempercepatkan pertumbuhan di India dengan menambah lebih banyak pesawat untuk menampung permintaan di laluan baharu itu sebaik sahaja perbincangan dengan kerajaan India dimuktamadkan.

Menurutnya, AirAsia akan menumpukan kepada Indonesia, Thailand, Filipina dan India Selatan bagi pertumbuhan seterusnya dan memulakan laluan baharu dari destinasi baharu seperti Pulau Pinang - Chennai dan Kota Bharu - Bandung.

Bagi AirAsia X, Fernandes berkata tumpuan pertumbuhan ialah kepada China, Jepun, Korea Selatan, Australia, Timur Tengah dan India, manakala A330neo akan menghubungkan lebih banyak laluan daripada habnya ke seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata strategi teras syarikat penerbangan tersebut adalah untuk menghubungkan Asia Tenggara dan menjadi syarikat penerbangan terbesar yang menawarkan perkhidmatan penerbangan dari Malaysia ke China, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

Beliau berkata AirAsia X berharap pelaburannya di Indonesia akan bermula pada akhir tahun ini dan beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Sumber: mStar Online | 16 Jul. 2014
Kempen khas: Jika anda menyokong cadangan pembukaan laluan antarabangsa Kota Bharu - Bandung ini, silalah 'like' (menjadi ahli) bagi laman kempen dan promosi ini: www.facebook.com/laluankbbandung.

No comments:

Post a Comment