Monday, August 1, 2016

MITI Wilayah Kelantan & Terengganu cadang laluan Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh

Wisma Perkeso di Jalan Kota Darul Naim, Kota Bharu yang menempatkan Pejabat MITI Wilayah Kelantan dan Terengganu.
KOTA BHARU: Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Wilayah Kelantan dan Terengganu di Kota Bharu, Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air bagi mewujudkan laluan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Bandar Raya Ho Chi Minh.

Pengarahnya, Azran Deraman berkata laluan berkenaan amat sesuai kerana ramai rakyat Kelantan yang suka berkunjung ke Bandar Raya Ho Chi Minh dan Hanoi, Vietnam.

Ia juga merupakan salah satu peluang untuk memudahkan usahawan dari negeri Kelantan menerokai pasaran di Vietnam.

“Ia bukan sahaja dapat membantu usahawan di sini, malah langkah ini juga akan membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan untuk mengenal pasti sektor pelancongan yang sesuai di sini.

“Apabila kita ke Vietnam, kita akan didedahkan dengan tempat-tempat pelancongan di sana. Oleh itu, kita juga perlu beri pendedahan kepada mereka mengenai keunikan negeri kita.” ujarnya.

“Kita boleh tonjolkan beberapa mercu tanda kita untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di sini. Kita akan bekerjasama dengan pihak yang terlibat,” katanya.

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com | 1 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment