Pemanjangan landasan LTSIP boleh dibuat di sebelah hujung landasan no. 28 (sebelah timur/kanan gambar). Nota: Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas. |
SUKACITANYA saya ingin merujuk laporan Berita Harian Online bertarikh 10 Februari 2017 dengan tajuk "Projek naik taraf LTSIP akhir tahun ini" terutamanya perenggan terakhir laporan berita tersebut seperti berikut:-
Bagaimanapun, katanya, pemanjangan landasan pesawat belum dapat dilaksanakan berikutan kawasan tanah LTSIP agak terhad.
Pertama, laporan atau kenyataan Pengarah, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa tersebut amatlah tidak tepat. Hal ini kerana pemanjangan landasan boleh dibuat di sebelah hujung landasan no. 28 (sebelah timur) yang melibatkan kawasan rezab lapangan terbang yang cukup luas yang boleh 'tembus' sehingga ke Kelab Polo Kelantan di Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Rezab tanah lapangan terbang berkeluasan ratusan ekar tersebut telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek pembesaran lapangan terbang termasuk pemanjangan landasan sejak tahun 1980-an lagi tetapi pemanjangan landasan tidak dilakukan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Kali terakhir landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) dipanjangkan adalah pada tahun 2010 - 2011 dengan memanjangkan landasan dari 1,981 meter kepada 2,400 meter untuk membolehkan pesawat jenis B737-800 milik Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan landasan lapangan terbang ini.
Dengan rezab tanah lapangan terbang sedia ada tersebut, landasan LTSIP boleh dipanjangkan lagi daripada 2,400 meter kepada sekurang-kurangnya 3,500 meter, iaitu tambahan kira-kira 1,100 meter terbang tanpa melibatkan pengambilan tanah penduduk.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Kelantan diminta tidak mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan tanah terhad untuk pemanjangan landasan tanpa menyelidik terlebih dahulu akan rezab tanah lapangan terbang yang boleh dibangunkan untuk pemanjangan landasan. Hal ini kerana ada exco Kerajaan Negeri Kelantan sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang hampir sama setahun dua yang lepas.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diharap dapat memanjangkan landasan LTSIP daripada 2,400 meter kepada 3,500 meter bagi membolehkan lapangan terbang ini mengendalikan pesawat berbadan lebar seperti A330-300, B777-200ER, A350-900, dan B747-400 tanpa had muatan.
Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com
No comments:
Post a Comment