Friday, February 10, 2017

Projek naik taraf LTSIP dijangka bermula akhir tahun ini

KOTA BHARU: Projek menaik taraf infrastruktur Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di sini, oleh Kerajaan Pusat dijangka bermula akhir tahun ini. 

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa, berkata projek bernilai RM450 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. 

"Apabila siap, LTSIP mampu menampung lebih sekali ganda daripada permintaan penumpang ketika ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di sini, hari ini. 

Makhtar berkata, projek membabitkan pembesaran bangunan seperti ruang menunggu dan tempat letak kenderaan. 

"Kita akan menambah ruang tempat letak kenderaan daripada 300 parkir sekarang kepada 1,500 serta memperbesarkan ruang menunggu bagi keselesaan penumpang," katanya. 

Makhtar berkata, projek itu akan mengurangkan kesesakan terutama ketika musim perayaan. 

Bagaimanapun, katanya, pemanjangan landasan pesawat belum dapat dilaksanakan berikutan kawasan tanah LTSIP agak terhad.

Sumber: Berita Harian Online | Timur | 10 Feb. 2017

No comments:

Post a Comment