Nota: Sila klik pada infografik untuk paparan yang lebih jelas |
Projek itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi pembentangan bajet lalu akan bermula pada Julai dan dirancang selama tiga tahun menerusi kos RM483 juta.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Yahaya Mamat berkata, ia antara beberapa projek impak tinggi Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mahu melihat Kelantan membangun seperti negeri lain dan berharap projek berkenaan akan memberi impak yang besar kepada negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Dengan projek ini, LTSIP bertukar wajah daripada lapangan terbang biasa kepada lapangan terbang antarabangsa, malah kita menjangkakan menarik lebih ramai pelabur ke Kelantan nanti.
“Skop naik taraf termasuk pembinaan bangunan terminal baharu untuk mencapai kapasiti penumpang lebih ramai selain pemasangan sistem pengendalian bagasi, tujuh jambatan udara (aerobridge) dan lapan sistem panduan visual.
“Projek juga dapat mengurangkan kesesakan di laluan curbside pada waktu puncak dengan pemisahan trafik melalui penyediaan tingkat berasingan untuk pelepasan dan ketibaan,” katanya.
Selain itu, Yahaya berkata, pembesaran mengambil kira tambahan parkir baharu bagi pesawat Kod 4C (Boeing 737/Airbus 320 dan pesawat ATR-72), meroboh dan membina semula balai penyelamat di lokasi baharu, pembinaan parkir kereta bertingkat dan ruang menunggu VVIP/VIP.
Selain itu, laluan teksi ditambah baik sesuai dengan tambahan jumlah penumpang melebihi kapasiti 2.06 juta orang setahun.
“Ikut reka bentuk asal, kapasiti penumpang hanya 1.5 juta orang saja namun pada 2015 ia meningkat kepada 2.06 juta penumpang, sekali gus menyebabkan kesesakan.
“Oleh itu, kerajaan berharap projek ini dapat membantu menyelesaikan semua masalah terbabit,” katanya.
LTSIP dibuka kepada umum pada 2002 dan menjalani kerja naik taraf pertama pada 2010 membabitkan kos RM45.5 juta.
LTSIP bakal bertukar wajah menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa |
Kakitangan awam, Nur Izhar Salimi Mohd Makhtar, 27, berkata, jika pembesaran LTSIP disiapkan, Kelantan menerima lebih kunjungan pelancong asing yang akan merancakkan lagi ekonomi negeri itu.
“Projek juga mampu menarik pelabur asing yang menyumbang kepada pembangunan, sekali gus tidak mustahil Kelantan menjadi bandar raya termaju seperti Kuala Lumpur dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Seorang peniaga, Mohd Amin Moqshid Azmi, 27, pula tidak menolak Kelantan menjadi negeri membangun dan tidak lagi sepi daripada pembangunan.
Katanya, selain manfaat pembangunan, projek itu dapat memudahkannya ke luar negara terutama China untuk urusan perniagaan tanpa perlu transit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Projek ini banyak manfaat kepada peniaga dalam talian seperti saya untuk dapatkan barang jualan dari luar negara.
“Sebelum ini agak leceh pabila perlu transit di KLIA. Harapnya selepas penukaran status lapangan terbang beri manfaat untuk kami yang berniaga di sini,” katanya.
Sumber: Harian Metro | 3 April 2018
No comments:
Post a Comment