Saturday, December 29, 2018

Malindo Air gantung laluan Kota Bharu - Surat Thani mulai 31 Disember 2018

SYARIKAT penerbangan Malindo Air akan menggantung laluan antarabangsa Kota Bharu - Surat Thani berkuat kuasa 31 Disember ini. 

Semakan melalui laman sesawang Malindo Air (www.malindoair.com) mendapati bahawa penjualan tiket telah dihentikan untuk penerbangan dari 31 Disember 2018 dan seterusnya. 

Sejak laluan ini diperkenalkan, pihak Malindo Air langsung tidak melakukan apa-apa promosi sama ada di laman sesawang rasminya mahupun di media-media massa. Hanya laporan media pada 17 September 2018 bersempena dengan penerbangan sulung laluan ini sahaja yang "mempromosikan" secara tidak langsung. 

Menurut maklumat yang diperoleh, laluan ini hanyalah laluan bermusim (seasonal) atau sewa khas sahaja bagi membolehkan pelancong asing yang ingin tinggal lebih lama di Surat Thani atau Koh Samui memperbaharui visa mereka di Konsulat Thailand di Kota Bharu, Kelantan sebelum terbang semula ke Surat Thani, Thailand pada keesokkan harinya. Mungkin itulah sebabnya penerbangan hanya ditawarkan dengan kekerapa dua kali seminggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan Selasa sahaja.

Penggantungan laluan ini menjadikan syarikat penerbangan Malindo Air hanya beroperasi bagi laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur-Subang (KBR-SZB) sahaja dari lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini. 

AirAsia Gantung Laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru

Dalam pada itu, syarikat penerbangan AirAsia pula telah menggantung laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru yang telah diperkenalkan sejak 22 Jun 2017 pada penghujung bulan November lepas. Laluan ini beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Faktor komersial dipercayai menjadi punca penggantungan laluan ini. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment