Friday, January 18, 2019

Scoot bakal perkenal laluan dari Singapura ke Kota Bharu dan Kota Kinabalu mulai Julai dan Disember depan

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot melancarkan jualan tiket penerbangan terus laluan Kota Kinabalu - Singapura yang dijadual bermula Disember depan. 

Selain itu, Scoot juga bercadang melancarkan penerbangan terus tiga kali seminggu bagi laluan Kota Bharu - Singapura pada Julai depan

Kedua-dua bandar berkenaan adalah destinasi Scoot yang ketujuh dan kelapan di negara ini selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang. 

Ketua Komersial Scoot, Vinod Kannan berkata pihaknya amat bersedia untuk mengembangkan lagi rangkaian operasi syarikat penerbangan berkenaan di negara ini kerana ia pasaran yang penting. 

“Malaysia adalah negara yang indah untuk diterokai dan dengan dua tambahan destinasi ini, penumpang berpeluang merasai pengalaman unik yang kami tawarkan di sepanjang penerbangan. 

“Laluan Kota Kinabalu - Singapura adalah satu daripada 17 laluan SilkAir yang akan diambil alih oleh Scoot secara berperingkat bermula dari 2019 sehingga 2020. 

“Perancangan ini selaras dengan semakan rangkaian terperinci yang dibuat oleh Singapore Airlines Group dalam memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. 

“Laluan Kota Bharu - Singapura pula bakal memberikan Scoot kelebihan sebagai pengendali tunggal dari Singapura yang menawarkan penerbangan terus ke bandar itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Pada masa ini, Scoot menawarkan penerbangan ke 66 destinasi merangkumi 18 negara dan wilayah, dengan 17 lagi destinasi tambahan ke Laos, India, China, Malaysia dan Indonesia yang akan dimulakan menjelang pertengahan kedua 2020. 

Scoot mempunyai rangkaian pesawat campuran yang terdiri daripada 18 pesawat Boeing 787 Dreamliner badan lebar yang serba canggih serta 29 pesawat Airbus 320 yang baharu dan moden. 

Bersempena dengan pelancaran jualan tiket ke Kota Kinabalu itu, Scoot menawarkan promosi tiket penerbangan sehala termasuk cukai Economy FLY pada harga serendah RM36 sahaja. 

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi pautan https://www.flyscoot.com/my-letsfly sebelum promosi berakhir pada 11.59 malam esok. 

Sumber: Berita Harian | 18 Januari 2019

No comments:

Post a Comment