Sunday, January 20, 2019

Scoot buka laluan antarabangsa Kota Bharu - Singapura mulai Julai ini

KOTA BHARU: Syarikat penerbangan Scoot yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN), Singapura bakal membuka satu lagi laluan antarabangsa ke Malaysia, iaitu Kota Bharu - Singapura mulai bulan Julai ini. 

Bandar raya Kota Bharu akan menjadi destinasi penerbangan ketujuh Scoot di negara ini selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Ipoh, Kuching, dan Kuantan, manakala kali terakhir Scoot membuka laluan baharu ke Malaysia adalah pada Februari 2018, iaitu laluan Kuantan - Singapura. 

Laluan Kota Bharu - Singapura ini akan beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu sama seperti laluan Kuantan - Singapura. Namun begitu, penjualan tiket bagi laluan baharu ini hanya dapat dimulakan sebaik sahaja Scoot mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak lama lagi. 

Laluan baharu ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada warga Kelantan dan Singapura untuk berulang alik atas urusan perniagaan dan liburan tetapi ia juga dapat dimanfaatkan penduduk Terengganu dan selatan Thailand lebih-lebih lagi setakat ini belum ada penerbangan terus dari Kuala Terengganu dan Narathiwat (selatan Thailand) ke Singapura. 

Pelancong antarabangsa terutamanya pelanggan setia Singapore Airlines (SIA) dari Amerika Utara, Eropah, Afrika, Oceania, Asia Timur, Asia Barat dan Asia Selatan hanya perlu transit melalui Singapura untuk ke Kota Bharu/Pulau Perhentian dengan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu ini. 

Hal ini kerana syarikat penerbangan Scoot mempunyai perjanjian perkongsian kod dengan SIA. Perjanjian perkongsian kod Scoot-SIA ini sudah pastinya dapat menambah bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan terus Kota Bharu - Singapura ini nanti. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment