Sunday, January 6, 2019

Perkhidmatan tren Laluan Skypark mudahkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke LTSAAS Subang

Salah satu tren Laluan Skypark yang beroperasi dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor. 
PERKHIDMATAN tren Laluan Skypark (Skypark Link) yang beroperasi sejak 1 Mei 2018 lalu merupakan satu lagi alternatif kepada pengguna yang ingin ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang terletak di Subang, Selangor, selain perkhidmatan bas henti-henti, teksi dan e-panggilan (iaitu, Grab dan My Car).

Laluan Skypark menawarkan perkhidmatan tren dari Stesen Sentral Kuala Lumpur terus ke LTSAAS dan hanya berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Stesen Kereta Api Subang Jaya. 

Perkhidmatan ini juga dapat dimanfaatkan kepada penduduk bandar raya Shah Alam, Klang, Pelabuhan Klang dan Puchong yang boleh menaiki tren ini dari Stesen Kereta Api Subang Jaya.

Penumpang dari Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang bolehlah mengambil perkhidmatan tren KTM Komuter terlebih dahulu ke Stesen Kereta Api Subang Jaya, manakala penumpang dari Puchong boleh mengambil LRT Aliran Kelana Jaya ke stesen yang sama sebelum meneruskan perjalanan ke LTSAAS dengan tren Laluan Skypark. 

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Stesen Kereta Api Terminal Skypark, LTSAAS mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja. Harga tiket bagi perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke LTSAAS adalah RM11.00, manakala dari Subang Jaya ke LTSAAS dikenakan tambang sebanyak RM5.00 sahaja atau masing-masing dikenakan tambang RM10.00 dan RM4.50 jika menggunakan kad Touch-n-Go (TNG) sebagai alat pembayaran. 

Stesen Kereta Api Terminal Skypark terletak bertentangan dengan bangunan Terminal Skypark, LTSAAS dan pengguna hanya perlu menggunakan jejantas berhampiran medan parkir kereta untuk masuk ke bangunan terminal.  

Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan tren Laluan Skypark yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad ini, sila klik pautan berikut: -  www.ktmb.com.my/skypark.html

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment