Ketibaan pesawat A320 penerbangan sulung Scoot dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu hari ini. |
KOTA BHARU: Scoot, sebuah syarikat tambang rendah dari Singapura di bawah Singapore Airlines Group memulakan penerbangan terus yang pertama dari negara itu ke Kota Bharu hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan berkata, bandar ini menjadi destinasi ketujuh Scoot di Malaysia selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan tiga penerbangan pergi balik antara Singapura dan Kota Bharu pada setiap minggu iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Jumaat.
“Penumpang dari Kota Bharu kini boleh menjimatkan lebih dua jam masa perjalanan dengan terbang secara terus ke Singapura tanpa perlu berhenti di Kuala Lumpur, kami memilih ibu negeri Kelantan ini kerana pesona dunia lama dan keindahan alam semula jadinya.
“Dari Singapura para penumpang boleh menjelajah ke lebih 60 destinasi di 17 buah negara dalam rangkaian Scoot termasuklah Athens, Berlin, Gold Coast, Jeddah, Sydney, Trivandrum, Wuhan, Kunming dan lain-lain lagi.
Pelancong Portugal yang tiba dengan penerbangan sulung Scoot dari Singapura kelihatan gembira di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu hari ini. |
“Kami sangat teruja menjadi satu-satunya pengendali antarabangsa yang menawarkan penerbangan terus antara Kota Bharu dan Singapura, kami berharap dapat membantu melonjakkan industri pelancongan tempatan dan lebih pilihan untuk orang ramai meneroka dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seramai 130 penumpang penerbangan sulung Scoot dari Singapura dengan kapal terbang A320 mendarat pada pukul 4.05 petang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Ketibaan pesawat A320 penerbangan sulung Scoot dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu hari ini. |
Ketibaan para penumpang telah disambut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan, Malaysia Airport Holding Berhad, Mohamed Sallauddin Mat Sah; Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur, Hafiz Hazin; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri, Mohd Aidil Afizie Daud; Ketua Penolong Setiausaha Pelancongan dan Kebudayaan, Pusat Penerangan Pelancongan negeri, Nik Mahmud Nik Jaafar dan wakil Scoot iaitu Pengurus Kanan Jualan Singapura dan Malaysia, Ng Saing Huat.
Selain pancuran tembakan air sebaik kapal terbang tiba di landasan, penumpang turut disambut dengan paluan gendang Kelantan oleh kumpulan kebudayaan.
Sementara itu, sempena pelancaran penerbangan ini, Scoot menawarkan tambang sehala istimewa dari Kota Bharu ke Singapura serendah RM59 termasuk cukai bagi kelas ekonomi bagi penerbangan sebelum 25 Oktober ini.
Tawaran promosi ini dibuka mulai 9 sehingga 11 Julai ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui www.FlyScoot.com atau melalui aplikasi Scoot!.
Sumber: Utusan Online | 2 Julai 2019
No comments:
Post a Comment