Friday, January 18, 2019

Scoot bakal perkenal laluan dari Singapura ke Kota Bharu dan Kota Kinabalu mulai Julai dan Disember depan

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot melancarkan jualan tiket penerbangan terus laluan Kota Kinabalu - Singapura yang dijadual bermula Disember depan. 

Selain itu, Scoot juga bercadang melancarkan penerbangan terus tiga kali seminggu bagi laluan Kota Bharu - Singapura pada Julai depan

Kedua-dua bandar berkenaan adalah destinasi Scoot yang ketujuh dan kelapan di negara ini selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang. 

Ketua Komersial Scoot, Vinod Kannan berkata pihaknya amat bersedia untuk mengembangkan lagi rangkaian operasi syarikat penerbangan berkenaan di negara ini kerana ia pasaran yang penting. 

“Malaysia adalah negara yang indah untuk diterokai dan dengan dua tambahan destinasi ini, penumpang berpeluang merasai pengalaman unik yang kami tawarkan di sepanjang penerbangan. 

“Laluan Kota Kinabalu - Singapura adalah satu daripada 17 laluan SilkAir yang akan diambil alih oleh Scoot secara berperingkat bermula dari 2019 sehingga 2020. 

“Perancangan ini selaras dengan semakan rangkaian terperinci yang dibuat oleh Singapore Airlines Group dalam memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. 

“Laluan Kota Bharu - Singapura pula bakal memberikan Scoot kelebihan sebagai pengendali tunggal dari Singapura yang menawarkan penerbangan terus ke bandar itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Pada masa ini, Scoot menawarkan penerbangan ke 66 destinasi merangkumi 18 negara dan wilayah, dengan 17 lagi destinasi tambahan ke Laos, India, China, Malaysia dan Indonesia yang akan dimulakan menjelang pertengahan kedua 2020. 

Scoot mempunyai rangkaian pesawat campuran yang terdiri daripada 18 pesawat Boeing 787 Dreamliner badan lebar yang serba canggih serta 29 pesawat Airbus 320 yang baharu dan moden. 

Bersempena dengan pelancaran jualan tiket ke Kota Kinabalu itu, Scoot menawarkan promosi tiket penerbangan sehala termasuk cukai Economy FLY pada harga serendah RM36 sahaja. 

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi pautan https://www.flyscoot.com/my-letsfly sebelum promosi berakhir pada 11.59 malam esok. 

Sumber: Berita Harian | 18 Januari 2019

Sunday, January 6, 2019

Perkhidmatan tren Laluan Skypark mudahkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke LTSAAS Subang

Salah satu tren Laluan Skypark yang beroperasi dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor. 
PERKHIDMATAN tren Laluan Skypark (Skypark Link) yang beroperasi sejak 1 Mei 2018 lalu merupakan satu lagi alternatif kepada pengguna yang ingin ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang terletak di Subang, Selangor, selain perkhidmatan bas henti-henti, teksi dan e-panggilan (iaitu, Grab dan My Car).

Laluan Skypark menawarkan perkhidmatan tren dari Stesen Sentral Kuala Lumpur terus ke LTSAAS dan hanya berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Stesen Kereta Api Subang Jaya. 

Perkhidmatan ini juga dapat dimanfaatkan kepada penduduk bandar raya Shah Alam, Klang, Pelabuhan Klang dan Puchong yang boleh menaiki tren ini dari Stesen Kereta Api Subang Jaya.

Penumpang dari Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang bolehlah mengambil perkhidmatan tren KTM Komuter terlebih dahulu ke Stesen Kereta Api Subang Jaya, manakala penumpang dari Puchong boleh mengambil LRT Aliran Kelana Jaya ke stesen yang sama sebelum meneruskan perjalanan ke LTSAAS dengan tren Laluan Skypark. 

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Stesen Kereta Api Terminal Skypark, LTSAAS mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja. Harga tiket bagi perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke LTSAAS adalah RM11.00, manakala dari Subang Jaya ke LTSAAS dikenakan tambang sebanyak RM5.00 sahaja atau masing-masing dikenakan tambang RM10.00 dan RM4.50 jika menggunakan kad Touch-n-Go (TNG) sebagai alat pembayaran. 

Stesen Kereta Api Terminal Skypark terletak bertentangan dengan bangunan Terminal Skypark, LTSAAS dan pengguna hanya perlu menggunakan jejantas berhampiran medan parkir kereta untuk masuk ke bangunan terminal.  

Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan tren Laluan Skypark yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad ini, sila klik pautan berikut: -  www.ktmb.com.my/skypark.html

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Tuesday, January 1, 2019

AirAsia disaran tambah kekerapan penerbangan dari KB ke KK dan Kuching kepada 4 kali seminggu

SYARIKAT penerbangan AirAsia disarankan supaya menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kota Bharu - Kota Kinabalu (KBR-BKI) dan Kota Bharu - Kuching (KBR-KCH) daripada tiga kali seminggu pada ketika ini kepada empat kali seminggu

Pada ketika ini, kedua-dua laluan ini beroperasi pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Oleh yang demikian, AirAsia disarankan supaya mengadakan juga penerbangan pada hari Ahad menjadikan kekerapan penerbangan kepada empat kali seminggu. 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) merupakan hab penerbangan kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menawarkan banyak destinasi domestik dan antarabangsa, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menjadi hab penerbangan kedua tersibuk di Malaysia Timur selepas KKIA.

Penambahan kekerapan ini bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan KKIA dan KIA sebagai hab penerbangan utama AirAsia di Malaysia Timur tetapi juga dapat mengukuhkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai hab mini AirAsia di wilayah Pantai Timur.

Tambahan pula, faktor muatan bagi penerbangan tiga kali seminggu sedia ada amat memberangsangkan terutamanya pada musim-musim perayaan dan cuti persekolahan.

Setakat ini, AirAsia beroperasi dengan tiga destinasi dari Kota Bharu, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Firefly digesa sambung semula laluan Kota Bharu - Johor Bahru

SYARIKAT penerbangan Firefly digesa supaya dapat menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Johor Bahru yang telah dihentikan sejak 30 Oktober 2016 yang lalu. 

Hal ini kerana sudah sampai masanya Firefly menyambung semula laluan ini yang pernah beroperasi dari 26 April 2012 sehingga 29 Oktober 2016 setelah lebih dua tahun menghentikan operasi bagi laluan ini. 

Laluan ini amat penting kerana ramai rakyat Kelantan yang menetap dan berkerja di Iskandar Malaysia, Johor yang merangkumi dua buah bandar raya, iaitu Johor Bahru dan Iskandar Puteri serta bandar-bandar seperti Pasir Gudang, Kulai dan Senai. Begitu juga yang menetap di Johor tetapi berkerja di Republik Singapura. 

Buat permulaan, Firefly boleh menawarkan penerbangan empat kali seminggu bagi laluan ini sebelum ditingkatkan kepada sekali sehari. 

Laluan ini juga boleh menjadi alternatif kepada warga Singapura yang ingin ke Kelantan dan Pulau Perhentian dengan mengambil penerbangan ke Kota Bharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru, Johor.  

Tambahan pula, LTAS kini telah menjadi hab penerbangan yang penting di selatan tanah air setelah syarikat penerbangan AirAsia menjadikannya sebagai hab selatan dengan kira-kira 15 laluan domestik dan antarabagsa dari LTAS. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Saturday, December 29, 2018

Firefly disaran tambah laluan domestik dan antarabangsa pada tahun 2019 - 2020

SYARIKAT penerbangan Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu yang dapat memastikan syarikat penerbangan milik penuh Penerbangan Malaysia (MAB) ini terus berkembang dan mencatatkan pertumbuhan pengendalian penumpang yang memberangsangkan. 

"Kegagalan" Firefly untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar, Singapura mulai 1 Disember lepas disebabkan kegagalannya mendapat  kelulusan dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bukan sahaja menjejaskan operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Subang - Singapura tetapi juga Ipoh - Singapura dan Kuantan - Singapura. 

Masalah atau isu kelulusan ini dijangka mengambil masa untuk diselesaikan oleh kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura. Hal ini kerana selagi isu sistem pendaratan instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar tidak dapat diselesaikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengikut apa yang disarankan CAAM, selagi itulah harapan untuk Firefly beroperasi di lapangan terbang kedua di Singapura ini tipis. 

Oleh itu, Firefly perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan beberapa laluan baharu untuk memastikan penggunaan angkatan pesawat komersialnya secara optimum. Hal ini kerana dengan penutupan laluan Firefly ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura mulai 1 Disember lepas, tiada lagi perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang ditawarkan Firefly dari atau ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS). 

Antara laluan yang boleh dibuka semula oleh Firefly ialah Subang - Medan, Kota Bharu - Johor Bahru, Pulau Pinang - Kuantan dan Pulau Pinang - Kuala Terengganu. 

Penerbangan Sambungan Melalui Pulau Pinang 

Firefly juga disaran supaya menawarkan perkhidmatan penerbangan sambungan melalui hab utaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) melibatkan laluan-laluan seperti berikut: -
  1. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Phuket (SZB-PEN-HKT)
  2. Kuala Lumpur-Subang - Pulau Pinang - Banda Aceh (SZB-PEN-BTJ)
  3. Kota Bharu - Pulau Pinang - Pulau Langkawi (KBR-PEN-LGK) 
  4. Kota Bharu - Pulau Pinang - Phuket (KBR-PEN-HKT)
  5. Kota Bharu - Pulau Pinang - Banda Aceh (KBR-PEN-BTJ) 
Perkhidmatan penerbangan sambungan melalui Pulau Pinang ini akan memudahkan seseorang penumpang contohnya dari Kota Bharu yang ingin ke Pulau Langkawi boleh transit di PIA berbanding di LTSAAS pada ketika ini. 

Lupakan Lapangan Terbang Melaka 

Setakat ini, hanya syarikat penerbangan Malindo Air yang beroperasi di Bandar Raya Melaka Bersejarah melalui laluan Melaka - Pulau Pinang dan Melaka - Pekanbaru. Syarikat penerbangan lain masih berkira-kira untuk beroperasi di Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang bukan sahaja sukar menarik penumpang tetapi juga ia tidaklah begitu jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Lebuh Raya Utara - Selatan (Lebuh Raya PLUS).

Pelbagai insentif telah ditawarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan beroperasi di LTM seperti pengurangan kadar caj perkhidmatan penumpang dan pengecualian caj pendaratan pesawat untuk tempoh beberapa tahun. Namun, LTM masih gagal menyakinkan syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia untuk beroperasi.

Jadi, Firefly boleh lupakan dahulu LTM dan memberi tumpuan kepada beberapa lapangan terbang lain untuk pengembangan laluan terutamanya LTSAAS, PIA, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (LTAS). 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

Malindo Air gantung laluan Kota Bharu - Surat Thani mulai 31 Disember 2018

SYARIKAT penerbangan Malindo Air akan menggantung laluan antarabangsa Kota Bharu - Surat Thani berkuat kuasa 31 Disember ini. 

Semakan melalui laman sesawang Malindo Air (www.malindoair.com) mendapati bahawa penjualan tiket telah dihentikan untuk penerbangan dari 31 Disember 2018 dan seterusnya. 

Sejak laluan ini diperkenalkan, pihak Malindo Air langsung tidak melakukan apa-apa promosi sama ada di laman sesawang rasminya mahupun di media-media massa. Hanya laporan media pada 17 September 2018 bersempena dengan penerbangan sulung laluan ini sahaja yang "mempromosikan" secara tidak langsung. 

Menurut maklumat yang diperoleh, laluan ini hanyalah laluan bermusim (seasonal) atau sewa khas sahaja bagi membolehkan pelancong asing yang ingin tinggal lebih lama di Surat Thani atau Koh Samui memperbaharui visa mereka di Konsulat Thailand di Kota Bharu, Kelantan sebelum terbang semula ke Surat Thani, Thailand pada keesokkan harinya. Mungkin itulah sebabnya penerbangan hanya ditawarkan dengan kekerapa dua kali seminggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan Selasa sahaja.

Penggantungan laluan ini menjadikan syarikat penerbangan Malindo Air hanya beroperasi bagi laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur-Subang (KBR-SZB) sahaja dari lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur ini. 

AirAsia Gantung Laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru

Dalam pada itu, syarikat penerbangan AirAsia pula telah menggantung laluan Kuala Terengganu - Johor Bahru yang telah diperkenalkan sejak 22 Jun 2017 pada penghujung bulan November lepas. Laluan ini beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Faktor komersial dipercayai menjadi punca penggantungan laluan ini. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

Tuesday, December 4, 2018

Lapangan terbang baharu bakal dibina di selatan Perak, landasan LTSAS dipanjangkan kepada 2.5 km

IPOH: Kerajaan Perak merasakan terdapat keperluan membina lapangan terbang baharu di negeri ini bagi menyaingi pembangunan pesat tetapi mungkin tidak dibina di Seri Iskandar seperti dirancang kerajaan terdahulu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan lapangan terbang baharu itu kini dirancang dibina di selatan Perak iaitu di kawasan berhampiran dengan lebuh raya

“Oleh kerana negeri Perak sedang membangun dengan pantas, jadi kita memerlukan lapangan terbang yang baharu. 

“Ia mungkin tidak dibina di Seri Iskandar kerana kerajaan negeri memikirkan ia lebih sesuai kalau dibuat di selatan Perak yang lebih dekat dengan Lebuh Raya Utara - Selatan (PLUS),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laluan penerbangan Air Asia Singapura - Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat 

Ahmad Faizal berkata, pemilihan lokasi itu akan membuatkan Kerajaan Pusat atau negeri tidak perlu membina kemudahan laluan ke lapangan terbang baharu itu nanti. 

Selatan Perak bermakna ia mungkin dibina di Tapah, Bidor, Behrang atau Tanjung Malim membabitkan daerah Muallim atau Batang Padang,” katanya. 

Ditanya sama ada LTSAS mampu menampung peningkatan jumlah penumpang, beliau berkata, setakat ini hanya 50 peratus daripada kapasiti lapangan terbang itu digunakan sepenuhnya, namun terdapat perancangan untuk memanjangkan lagi landasan sedia ada dan menambah baik atau memperbesar bangunan terminal sedia ada. 

“Kerajaan negeri juga sudah menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk membuat beberapa tarikan lain di sekitar lapangan terbang ini yang kita sambut baik dan jangka akan dimulakan tahun depan,” katanya. 

Ahmad Faizal berkata, projek memanjangkan landasan itu dijangka tidak memerlukan kawasan perumahan berhampiran dipindahkan kerana hanya membabitkan kedua-dua hujung landasan dengan keseluruhan pemanjangan sebanyak 500 meter dan akan menjadikan landasan mempunyai jarak 2.5 kilometer

Sementara itu, bercakap mengenai laluan baharu penerbangan AirAsia Singapura - Ipoh, beliau mengalu-alukan usaha dilakukan syarikat penerbangan terbabit yang juga laluan kedua dilancarkan selepas laluan Johor Bahru - Ipoh dilancarkan Oktober lalu. 

“Kerajaan negeri percaya perkhidmatan penerbangan terus empat kali seminggu laluan baharu ini akan membantu merealisasi wawasan menjadikan Perak destinasi pelancongan utama di Malaysia dan akan berusaha memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik bagi menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” katanya. 

Riad pula berkata, sejak pelancaran laluan Johor Bahru - Ipoh dua bulan lalu, pihaknya sudah membawa hampir 10,000 penumpang yang terdiri daripada warganegara China, Indonesia, India dan Singapura. 

“Laluan baharu Singapura - Ipoh ini adalah usaha kami memperluas rangkaian di Ipoh dan berharap dapat menyumbang kepada peningkatan pelancong yang mana kami juga merancang meningkatkan kekerapan jadual laluan ini dari empat kali seminggu kepada tujuh kali seminggu pada tahun depan,” katanya.

Sumber: Harian Metro | 3 Disember 2018