03 Julai, 2009 19:22 PM
Rahim Pandang Serius Kelewatan Kerja Naik Taraf Lapangan Terbang Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 3 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri memandang serius kelewatan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang dimulakan pada April 2006 dan sepatutnya disiapkan Mei lepas.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan juru perunding projek tersebut KLIA Consultancy Services supaya melakukan pemantauan agar kelewatan itu tidak berpanjangan.
"Kelewatan projek ini disiapkan dari jadual asal menimbulkan pelbagai masalah seperti kos yang meningkat dari jumlah peruntukan asal dan rungutan masyarakat awam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya projek tersebut menelan belanja RM1.5 bilion yang melibatkan pakej 1 dengan kos RM720 juta bagi kerja naik taraf terminal dan infrastruktur yang dilaksanakan oleh WCT Berhad.
Katanya pakej 2 pula membabitkan kerja naik taraf Menara Kawalan baru Terminal 2 dan infrastruktur landasan dengan nilai kos RM720 juta yang dilaksanakan oleh Global Upline Sdn Bhd.
Rahim berkata beliau difahamkan kontraktor WCT Berhad telah mendapat masa tambahan sehingga Disember 2009 tetapi bagi kerja naik taraf landasan sehingga kini belum ada persetujuan berhubung tarikh akhir tambahan masa.
Katanya antara masalah kelewatan yang dibangkitkan ialah isu pengambilan balik tanah milik Royal Sabah Turf Club (RSTC) seluas 4.2 ekar terutama di penghujung landasan yang memerlukan tindakan pemindahan segera mereka ke Tambalang di Tuaran.
Beliau berharap kerajaan negeri dapat membantu untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah RSTC itu.
"Saya yakin dengan siapnya kerja naik taraf KKIA, maka kedatangan pelancong ke Sabah akan bertambah dan usaha menjadikan Kota Kinabalu menjadi Hab Pengangkutan Udara yang terpenting selepas KLIA akan terlaksana segera," katanya.
Rahim berkata sekiranya terminal utama KKIA siap, dijangka operasi penerbangan syarikat tambang murah AirAsia akan berpindah ke terminal utama dan tempat mereka beroperasi sekarang di terminal 2 akan dijadikan terminal kargo dan terminal VVIP.
SOURCE (Sumber): Bernama: 03-07-2009
No comments:
Post a Comment