Monday, January 4, 2010

24-11-2009: Terminal 1 KKIA Dijangka Siap Sepenuhnya Mei Tahun Depan

24 November, 2009 18:58 PM
Terminal 1 KKIA Dijangka Siap Sepenuhnya Mei Tahun Depan

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dijangka siapa sepenuhnya dan mula beroperasi pada bulan Mei tahun depan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Datuk Masidi Manjun pada Selasa.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja bagi memanjangkan landasan sedia ada di terminal itu dihentikan sehingga pihak Sabah Turf Club (STC) mengosongkan kawasan mereka yang terletak di hujung landasan itu, untuk memberi laluan kepada kerja-kerja tersebut.

"Terminal itu sepatutnya disiapkan Mei tahun ini, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana STC memerlukan masa untuk berpindah ke tapak baru," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian cek kepada dua pertubuhan kebajikan di pejabatnya di sini Selasa. STC kini berpindah ke tapak baru di Tuaran.

Masidi yang terdahulu diberi taklimat mengenai perkembangan projek pembinaan terminal itu di pejabat Malaysia Airport Berhad di sini berkata kerja-kerja menyiapkan terminal itu akan bersambung Disember ini selepas STC mengosongkan sepenuhunya kawasan berkenaan.

Pada majlis hari ini, Yayasan Down Syndrome Kiwanis dan Pertubuhan Hospis Sandakan masing-masing menerima sumbangan RM10,000 yang dikumpul dari penjualan tiket Festival Saranghaeyo Korea yang diadakan di sini pada September lepas.

SOURCE (Sumber): Bernama: 24-11-2009


No comments:

Post a Comment