Saturday, January 2, 2010

Komentar: Wajarkah kaunter perkhidmatan teksi di LTSIP ditutup pada Hari Raya?

Saya ingin menyuarakan ketidakpuashatian penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan pada 27 November 2009 lalu kerana perkhidmatan teksi lapangan terbang tidak disediakan pada hari tersebut yang kebetulan jatuh pada hari raya pertama Hari Raya Aidiladha yang disambut dengan meriahnya di negeri Kelantan.

Saya yang tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) pada jam 04:00 pm berasa amat terkejut kerana kaunter perkidmatan teksi berkupon ditutup dan tidak beroperasi. Saya dimaklumkan oleh salah seorang pemandu teksi yang sedang menunggu di pintu keluar utama balai ketibaan bahawa petugas kaunter perkidmatan teksi bercuti sempena Hari Raya Aidiladha dan yang penumpang ingin menggunakan perkhidmatan teksi hanya perlu membuat pembayaran terus kepada pemandu teksi tersebut.

Pesawat B737-400 MAS dengan 144 tempat duduk yang penuh dengan penumpang cukup menggambarkan bahawa perkhidmatan kapal terbang tetap laris walaupun pada Hari Raya Aidiladha tetapi malangnya jumlah teksi yang menunggu di pintu utama balai ketibaan tidak sampai dua buah teksi. Pengguna tidak mempunyai pilihan dengan terpaksa menunggu teksi dalam tempoh masa yang lebih masa sedangkan sebelum ini teksi berbaris panjang untuk mengangkut penumpang setiap kali ada pesawat mendarat di LTSIP.

Persoalannya apa gunanya persatuan teksi jika tidak mampu mengatur jadual tugas ahli-ahli persatuan agar tidak menjejaskan operasi teksi lapangan terbang walaupun pada cuti umum? Adakah wajar kaunter perkhidmatan teksi ditutup pada hari tersebut sedangkan operasi LTSIP tidak ditutup? Saya berharap perkara ini dipandang serius oleh pihak-pihak yang terbabit dan tindakan perlu diambil agar perkara seumpama ini tidak lagi berulang pada masa-masa akan datang.

No comments:

Post a Comment