Wednesday, February 19, 2014

AirAsia tumpu usaha perkenal laluan baharu tahun ini

KUALA LUMPUR: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dan terbesar di Asia, akan memberi tumpuan 60 peratus usahanya untuk memperkenal laluan baharu tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata baki 40 peratus tertumpu kepada peningkatan kekerapan laluan sedia ada.

"AirAsia sentiasa komited untuk menyediakan pilihan baharu kepada pelanggan," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan laluan baharu syarikat itu ke Kalibo, Filipina di sini hari ini.  AirAsia menyediakan penerbangan langsung yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kalibo mulai esok.
  
Kalibo adalah pintu masuk ke pulau dengan pantai terindah, Boracay, di Filipina dan penerbangan empat kali seminggu itu akan berlepas setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad, menandakan destinasi ketiga Filipina untuk AirAsia dengan penerbangan langsung dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Aireen juga berkata AirAsia menjangkakan mampu mencapai sehingga 80 peratus muatan bagi setiap penerbangan di laluan terbaharu itu, dan akan menimbang untuk meningkatkan kekerapan jika ada permintaan.
  
AirAsia mempunyai jaringan liputan paling luas di seluruh Asean, dan Filipina merupakan pasaran membangun bagi syarikat penerbangan tambang rendah.
  
"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada rangkaian itu, terutama dengan kehadiran rakan kami AirAsia Zest di Filipina, yang menghubungkan penduduk dengan tambang rendah kami," katanya.
  
Bersempena pengumuman itu, AirAsia menawarkan tempat duduk percuma dengan cukai dan yuran berkaitan serendah RM77 sehala ke destinasi berkenaan, boleh ditempah dalam talian mulai 12 tengah hari esok hingga 23 Februari, 2014.
  
AirAsia mengangkut lebih 220 juta penumpang dalam tempoh 12 tahun beroperasi dan berkembang daripada hanya dua pesawat kepada lebih 150. 

Sumber: BERNAMA | 18 Februari 2014

No comments:

Post a Comment