Wednesday, April 2, 2014

Terminal KLIA2 akan mula operasi 2 Mei 2014

Abdul Aziz (kanan) melihat skrin Gateway@Klia2 pada Persidangan dan Pameran Lapangan Terbang Bandar Terkemuka Dunia 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang beroperasi sejak 2006 akan ditutup kepada umum pada 9 Mei depan iaitu seminggu selepas terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mula beroperasi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, operasi KLIA2 yang akan dimulakan pada 2 Mei nanti tidak akan ditunda lagi dan setakat ini semua perancangan berjalan lancar.

“Buat masa ini semuanya berjalan seperti yang dijadualkan dan kami yakin bahawa operasi KLIA2 akan beroperasi pada 2 Mei nanti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di LCCT untuk menghentikan operasi dari terminal berkenaan dan mereka sepatutnya sudah berpindah ke KLIA2 pada tarikh berkenaan.

Ini kerana semua agensi yang ditempatkan di lapangan terbang termasuk kastam dan imigresen akan dipindahkan ke KLIA2,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Dunia Bandar Lapangan Terbang 2014 di sini, semalam.

Menurutnya, KLIA2 dijangka menerima pesawat pertama pada 2 Mei ini iaitu sekitar jam 12.30 pagi dari Cebu Pacific Airways.


“Selain Cebu Pacific Airways yang berpangkalan di Filipina, KLIA2 juga akan memulakan operasi dengan tiga syarikat tambang murah iaitu Tigerair Mandala yang berpangkalan di Indonesia, Tiger Air yang berpangkalan di Singapura dan syarikat penerbangan hibrid tempatan Malindo Air,” katanya.

Sementara itu, AirAsia dan AirAsia X dalam kenyataannya berkata, syarikat itu tidak akan memindahkan operasinya ke terminal KLIA2 walaupun selepas tarikh 9 Mei 2014 berikutan terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar berkata, pihaknya tetap akan meneruskan operasi di LCCT walaupun selepas pengumuman mengenai penutupan LCCT pada tarikh berkenaan.

“Kami bersedia berpindah ke KLIA2, namun ia hanya akan dilaksanakan selepas isu yang timbul ini dapat diselesaikan.

“Hasil kajian yang dibuat untuk kesediaan terminal berkenaan mendapati terdapat tekanan pada landasan yang mengundang risiko dan secara tidak langsung boleh mengakibatkan gangguan operasi.

“Selain itu, proses Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) yang perlu dilaksanakan dalam tempoh dua bulan juga dianggap tidak realistik,” katanya sambil menambah, AirAsia akan membuat pengumuman sekiranya sudah bersedia berpindah ke KLIA2.

Sumber: myMetro Online | 2 April 2014

No comments:

Post a Comment