KUALA LUMPUR: Jikalau sesuatu kejadian itu ditakdirkan berlaku, maka ia
akan tetap berlaku walaupun langkah berjaga-jaga diambil.
Begitu jugalah dengan tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Begitu jugalah dengan tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Namun masih ada di kalangan kita yang terbawa-bawa dengan emosi dan
kepentingan politik lalu melontarkan kemarahan dan teori-teori yang
dilihat tidak rasional.
Bukankah pada masa ini, kita perlu lebih menonjolkan semangat nasionalisme dan mempertahankan negara yang berdepan dengan satu cabaran yang tidak pernah dialami negara-negara lain?
Malah ada juga yang memburuk-burukkan perkhidmatan syarikat penerbangan negara, MAS, yang sebenarnya merupakan antara satu syarikat penerbangan yang tersohor di dunia.
JANGAN HANYA MENUNDING JARI
Bagi seorang bekas pramugari V Priscilla Jayakanes, 34, rakyat Malaysia tidak sepatutnya membuat andaian atau kesimpulan tersendiri mengenai perkhidmatan dan keselamatan yang sedia ada dengan hanya mengambil kira tragedi MH370.
"Sebenarnya, semua syarikat penerbangan mempunyai cara yang sama dalam mengendalikan latihan dan hanya akan mengambil atau merekrut kapten yang berpengalaman sahaja," katanya.
"Tidak wajar sekiranya kita hanya menuding jari terhadap syarikat penerbangan negara padahal punca sebenar masih belum diketahui.
"Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja, mungkin di rumah atau semasa dalam perjalanan bersama orang tersayang. Adakah kita akan tinggalkan rumah itu atau tidak mahu menaiki kereta dengan orang yang sama?
"Sudah tentu kita akan meneruskan rutin harian seperti biasa dengan keyakinan, kepercayaan serta keberanian. Ini adalah lumrah kehidupan manusia... tetapi apabila bercakap tentang keyakinan terhadap syarikat penerbangan, kenapa kita perlu berfikir cara untuk mengembalikan keyakinan? Saya rasa rakyat perlu berfikiran matang dan rasional," katanya.
TETAP MENYOKONG PENERBANGAN KEBANGGAAN NEGARA
Priscilla, yang mempunyai pengalaman bertugas sebagai pramugari selama 11 tahun, berkata tragedi ini tidak sama sekali menggugat keyakinannya untuk menggunakan perkhidmatan MAS di masa akan datang dan akan tetap menyokong syarikat penerbangan negara.
Begitu juga dengan seorang pensyarah universiti Kenneth Lee Tze Wui, 29, yang berkata sokongan padu akan terus diberikan kepada syarikat penerbangan negara yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Bagi penyelaras kerugian insurans, Vishnu Morgan, 31, yang kerap mengunakan perkhidmatan MAS sekurang-kurangnya tiga kali setahun, beliau akan tetap meneruskan penerbangan dengan syarikat itu yang menjadi satu daripada syarikat penerbangan terbaik di dunia.
Bagi Nor Saifullah Ramada Syahruddin, 28, biarpun insiden ini menjejaskan imej MAS namun rakyat Malaysia seharusnya terus memberi sokongan padu kepada produk negara.
"Tidak dinafikan insiden MH370 ini memberi impak besar kepada syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa itu namun kita sebagai rakyat Malaysia jalankan tanggungjawab kita untuk membantu meningkatkan reputasi MAS," katanya.
Sambil menyifatkan perkhidmatan MAS adalah antara yang terbaik, beliau berkata meskipun banyak spekulasi yang ditimbulkan oleh media asing namun perkara ini berlaku di luar jangkaan.
"Saya berharap pihak-pihak tertentu jangan mempolitikkan isu ini kerana ia melibatkan hati dan perasaan banyak pihak," katanya sambil menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga penumpang MH370.
ISU PELETAKAN JAWATAN CEO MAS
Bukan sekadar mempolitikkan insiden MH370 sahaja, malah baru-baru ini, ada pihak yang mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya supaya melepaskan jawatan berikutan kejadian luar biasa yang membingungkan banyak pihak dan pakar penerbangan.
Menyentuh hal berkenaan, Vishnu menyeru supaya jangan begitu cepat menyalahkan pemimpin tetapi lebih melihat kepada sistem itu sendiri.
"Lagipun menyeru beliau (Ahmad Jauhari) supaya meletakkan jawatan di peringkat ini bukanlah idea yang bijak. Dan dengan CEO baru bermakna kita perlu mula semula tetapi ini bukan masanya," katanya.
Priscilla pula berpendapat sesiapapun tidak berhak untuk menggesa Ahmad Jauhari meletak jawatan kerana hanya beliau (Jauhari) yang mengetahui lebih baik mengenai usaha dan cabaran yang dilalui sepanjang tragedi ini.
Penerbangan MH370, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).
Misi pencarian pelbagai negara dikerahkan di selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, yang melencong daripada laluan asal penerbangannya.
Sumber: Bernama | 1 April 2014
No comments:
Post a Comment