Monday, March 31, 2014

Malindo Air strukturkan semula laluan Kota Bharu - Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Malindo Air menstrukturkan semula laluan penerbangan Kota Bharu (KBR) - Pulau Pinang (PEN) yang telah diperkenalkan sejak 27 Januari 2014 dengan menggantung penerbangan bagi laluan ini bermula hujung bulan Mac sehingga 30 April 2014. 

Penggantungan laluan ini kemungkinan besar disebabkan oleh ketidakcukupan angkatan pesawat setelah beberapa insiden yang melanda pesawat Malindo Air termasuk kebakaran enjin pada 26 Mac 2014 dalam penerbangan ke Kuala Terengganu dari Subang yang telah mengurangkan pesawat boleh guna.

Bermula 1 Mei 2014, Malindo Air akan mengurangkan penerbangan dari sekali sehari kepada empat kali seminggu, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Khamis, dan Jumaat sahaja. Hal ini kerana bagi laluan ini Malindo Air juga terpaksa bersaing dengan syarikat penerbangan Firefly yang telah lama menyediakan perkhidmatan bagi laluan ini. 

Penerbangan OD1722 dari Pulau Pinang ke Kota Bharu dijadualkan berlepas pada jam 13:35 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) pada jam 14:30, manakala penerbangan OD1721 dari Kota Bharu ke Pulau Pinang dijadualkan berlepas dari LTSIP pada jam 14:50 dan dijadualkan tiba di PIA pada jam 15:45. 

Nota kaki: Syarikat penerbangan Firefly menawarkan perkhidmatan penerbangan harian (sekali sehari atau tujuh kali seminggu) bagi laluan Kota Bharu - Pulau Pinang ini. Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang: www.fireflyz.com.my.

No comments:

Post a Comment