Thursday, June 12, 2014

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim bakal jadi hab penerbangan Wilayah Utara

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar, Kedah Darul Aman. 
ALOR SETAR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas dekat sini bakal menjadi hab penerbangan bagi wilayah utara apabila penerbangan terus ke Langkawi, Kota Bharu, Acheh, Medan dan Phuket bermula September ini.

Pengarah Urusan Bumi Aviation Sdn Bhd, Abdul Wahab Mat Isa berkata dari segi kedudukan geografi, LTSAH berada di lokasi yang sangat strategik kerana selain berhampiran dengan negara jiran LTSAH memiliki kemudahan yang mampu mengendalikan penerbangan antarabangsa.

"Sekarang pun sudah ada penerbangan terus ke Jeddah di LTSAH, jadi kita akan adakan penerbangan baharu yang akan penuhi penerbangan jarak dekat yang dijangka dapat beroperasi dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Setakat ini belum ada syarikat yang menyediakan perkhidmatan penerbangan terus ke Medan, Acheh, Langkawi, Phuket dan Kota Bharu dari Alor Setar," katanya pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Prapelancaran Penerbangan dari Alor Setar ke Langkawi/Kota Bharu/Acheh/Medan dan Phuket oleh Neptune Air dan Bumi Aviation Sdn Bhd di LTSAH, di sini Khamis.

Sementara itu, Pengarah Neptune Air, Muhammad Abdul Jalil berkata untuk permulaan dua pesawat akan diguna dan jumlah akan ditambah kepada tujuh bagi memenuhi permintaan.

"Kita melihat trend perkhidmatan penerbangan ini, apabila lebih luas jalur penerbangan yang ditawarkan permintaan akan bertambah," katanya.

Sumber: Bernama | 12 Jun 2014

No comments:

Post a Comment