KUALA LUMPUR: Pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang
dicadangkan dibina di kawasan ladang getah Kulim, Kedah dijangka menelan
perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar)
berkata, kos tersebut meliputi pengambilalihan tanah, pembangunan
infrastruktur asas dan dua landasan.
Katanya, pembinaan bagi peringkat awal membabitkan kawasan seluas 600
hektar, namun kawasan tersebut boleh diperluaskan sehingga 6,000 hektar
jika diperlukan.
"Kita boleh bina dua, tiga ataupun empat landasan jika diperlukan.
Saya yakin ia akan menjadi lapangan terbang serantau, bukan sahaja untuk
Kedah malah untuk Selatan Thailand," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran pembukaan pejabat Bina Darulaman Bhd. (BDB) di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.
Mengulas sama ada Kedah mahu bersaing dengan Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang, Mukhriz berkata, adalah lebih murah untuk
membina lapangan terbang di tanah besar yang lebih luas berbanding
membina landasan di atas laut.
Katanya, kajian pihaknya mendapati, lapangan terbang di Pulau Pinang
akan mencapai kapasiti maksimum dalam masa dua tahun lagi dan
peningkatan penumpang ke negeri itu menyebabkan penerbangan kargo
menurun sebanyak 10 peratus sejak tiga tahun lalu.
"Di sinilah keperluan kami kerana zon utara menarik banyak pelaburan dan banyak syarikat memerlukan perkhidmatan kargo.
"Beberapa syarikat dari Kedah dan Pulau Pinang memberitahu bahawa
mereka terpaksa membawa barangan dengan trak ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk penerbangan antarabangsa. Jadi,
ini tidak baik untuk pelaburan antarabangsa kita," katanya.
Sementara itu, Izham berkata, pembukaan pejabat BDB di sini adalah
untuk meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan keupayaan Kumpulan
BDB serta merintis peluang perniagaan di luar Kedah.
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 23 Jun 2014 | Terbitan 24 Jun 2014
No comments:
Post a Comment