SEPANG: Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang
merangka rancangan strategik baharu bagi tempoh 2015 hingga 2020 yang
merangkumi kerja menaik taraf lapangan terbang di seluruh negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MAHB sedang menjalankan kajian perniagaan dan tidak akan membuat sebarang pengumuman baharu tahun ini.
"Kami sedang menambah baik perkhidmatan berdasarkan kaji selidik pola trafik pengguna," katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi KLIA2 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Selasa.
Badlisham berkata, pada masa akan datang, tumpuan MAHB adalah juga terhadap KLIA2, terutama dari perspektif kendalian dan keselamatan.
"KLIA2 adalah suatu 'rahmat' berbanding LCCT. Warga Malaysia harus berbangga dengannya. Tetapi sebagai sebuah lapangan terbang baharu, tentunya ada perkara yang masih boleh dibaiki seperti papan tanda," katanya.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Najib berkata, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja menaiktarafkan lapangan terbang di seluruh negara.
"Kerajaan juga akan bekerjasama dengan MAHB untuk membangunkan selanjutnya kesemua 39 lapangan terbang di negara ini," kata beliau.
Mengenai isu sistem daftar masuk dengan AirAsia, Badlisham berkata: "Semuanya sudah sedia untuk dibincangkan."
Sementara itu, menurut MAHB, KLIA2 dibiayai secara persendirian melalui Program Sukuk Senior lima tranche, yang mengalami lebihan langganan sebanyak 3.4 kali dan menarik pelbagai kumpulan pelabur.
"Kos pembinaan setiap penumpang adalah sebanyak RM89, paling rendah berbanding terminal lapangan terbang antarabangsa lain yang setara dengannya," katanya.
Kos purata pembinaan setiap penumpang di terminal-terminal yang kapasitinya 16 hingga 45 juta penumpang setahun di seluruh dunia adalah kira-kira RM1,229.
Sumber: mStar Online | 24 Jun 2014
No comments:
Post a Comment