Saturday, July 22, 2017

AirAsia bakal perkenal laluan Kota Bharu - Bandar Raya Melaka

SYARIKAT penerbangan AirAsia bakal memperkenalkan satu lagi laluan domestik dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan, iaitu ke Bandar Raya Melaka pada suku keempat tahun ini.  

Menurut Datuk Lim Ban Hong, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pemulihan Projek, dan Perdagangan Antarabangsa Negeri Melaka, AirAsia bakal memperkenalkan beberapa laluan domestik dan antarabangsa dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) di Batu Berendam, Melaka mulai Oktober atau November ini termasuk satu laluan domestik ke Kota Bharu, Kelantan untuk kemudahan rakyat Melaka. 

Laporan Bernama bertarikh 20 November 2016 melaporkan bahawa syarikat penerbangan Malindo Air dijangka menyambung semula laluan penerbangan Kota Bharu - Bandar Raya Melaka yang digantung sejak Oktober 2015 pada tahun ini. Namun begitu, rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan dan pengumuman terbaharu daripada exco Kerajaan Negeri Melaka ini pastinya mengembirakan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Melaka tetapi juga rakyat Kelantan dan Terengganu yang boleh memanfaatkan kemudahan penerbangan terus ini nanti.

Laluan Kota Bharu - Bandar Raya Melaka ini dijangkakan beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Penerbangan terus ini juga dijangka menggunakan pesawat yang didatangkan dari LTSIP ke LTM terlebih dahulu dan sebaliknya. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment