Thursday, July 13, 2017

AirAsia tambah kekerapan penerbangan Aidiladha

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd. (AirAsia) mengumumkan penambahan kekerapan bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Alor Setar untuk memenuhi permintaan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha akan datang.

Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata, penerbangan ke Kota Bharu akan ditambah daripada 75 ke 89 penerbangan sehala seminggu, manakala ke Kuala Terengganu akan bertambah daripada 47 ke 54 penerbangan sehala seminggu, dan penerbangan ke Alor Setar akan bertambah daripada 33 ke 40 penerbangan sehala seminggu untuk tempoh perjalanan dari 26 Ogos 2017 hingga 3 September 2017.

Katanya, bagi penerbangan ke Johor Bahru pula ia akan bertambah daripada 38 ke 41 penerbangan sehala seminggu untuk tempoh perjalanan dari 29 Ogos hingga 12 September 2017.

“Kami berbesar hati untuk menyediakan penerbangan tambahan bagi Hari Raya Aidiladha akan datang, supaya para tetamu boleh merancang perjalanan balik kampung mereka lebih awal dengan lebih banyak pilihan penerbangan, serta dapat menikmati rangkaian luas kami di Malaysia termasuklah laluan baharu seperti Langkawi-Kuching, Langkawi-Johor Bahru, Johor-Bahru-Kuala Terengganu, Johor Bahru-Tawau, dan banyak lagi.

“AirAsia juga akan terus berusaha untuk menambah hab-hab domestik untuk menyediakan kemudahan kepada para tetamu dan kami berharap laluan baharu yang diperkenalkan serta kekerapan penerbangan tambahan akan melancarkan perjalanan tetamu kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sempena musim perayaan akan datang, AirAsia turut menawarkan 20 peratus diskaun untuk semua tempat duduk, semua penerbangan bermula sekarang hingga 16 Julai 2017 untuk tempoh perjalanan dari 17 Julai 2017 hingga 23 November 2017.

“Tempahan boleh dibuat melalui airasia.com, aplikasi AirAsia untuk peranti mudah alih dan AirAsiaGo. Ahli-ahli AirAsia BIG juga boleh menebus penerbangan melalui kempen ini dengan mata ganjaran AirAsia BIG mereka,” katanya.

Menurut Lee lagi, para penumpang AirAsia dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang 3 jam sebelum waktu berlepas dan daftar-masuk sendiri melalui laman web, laman atau aplikasi mudah alih, atau kiosk perkhidmatan untuk mengelakkan kesesakan.

Sumber: Utusan Online | 13 Julai 2017

No comments:

Post a Comment