Saturday, October 21, 2017

LIA dan LTSIP diperbesar bagi menampung 4 juta penumpang setahun

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan. 
SEJUMLAH RM89 juta diperuntukan Kerajaan Persekutuan untuk projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), Pulau Langkawi, Kedah yang dibahagikan kepada dua fasa pelaksanaan. 

Fasa 1 projek pembesaran dan naik taraf LIA melibatkan kerja-kerja pembesaran kawasan parkir kenderaan telah bermula pada 1 September 2017 dan dijadualkan siap pada 15 Oktober 2017 yang lepas, manakala Fasa 2 pula melibatkan pembinaan dan pembesaran balai ketibaan, tandas, terminal komersial, surau, dan laluan masuk kenderaan ke bangunan terminal utama dijadualkan bermula pada 15 Oktober lepas dan dijangka dapat disiapkan pada 31 Ogos 2018. 

Projek pembesaran dan naik taraf LIA ini akan meningkatkan kapasiti LIA daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 4 juta penumpang setahun. 

Di sebelah Pantai Timur pula, projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan dijangka dapat dimulakan pada Januari 2018 dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 36 bulan dengan peruntukan sebanyak RM450 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas. 

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP ini juga melibatkan pembesaran bangunan terminal sedia ada untuk menampung sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.45 juta penumpang setahun yang mampu ditampung oleh bangunan terminal sedia ada. 

Antara komponen lain projek pembesaran dan naik taraf LTSIP ini adalah pembinaan bangunan parkir bertingkat dengan 1,200 petak parkir, jalan rayap (taxiway) menghubungkan apron parkir pesawat dengan hujung landasan no. 10 dan pemanjangan landasan daripada 2,400 meter kepada 2,500 meter untuk kegunaan pesawat berbadan lebar. 

Tawaran tender untuk kerja-kerja pembinaan bagi projek pembesaran dan naik taraf LTSIP ini telah dikeluarkan pada bulan Ogos 2017 yang lepas dan keputusannya dijangka diumumkan tidak lama lagi. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment