Landasan LTSIP, LTS dan LTM masing-masing bakal dipanjangkan daripada 2,400 meter (m), 2,133 m dan 2,135 m kepada 2,500 m bagi membolehkan pesawat berbadan lebar terutamanya Airbus A330-300 beroperasi dengan sekatan had muatan.
Projek pemanjangan landasan LTSIP dijangka dapat dimulakan pada awal tahun hadapan bersama-sama dengan projek pembesaran bangunan terminal untuk menampung sehingga empat juta penumpang setahun dengan peruntukan RM450 juta yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, peruntukan sejumlah RM80 juta telah diumumkan YAB Perdana Menteri pada 7 Mei 2017 lepas untuk projek naik taraf dan pemanjangan landasan LTS yang dijangka mengambil masa selama 18 bulan bermula Ogos 2017 dan dijangka siap pada Januari 2019, manakala projek pemanjangan landasan LTM dijangka melibatkan kos berjumlah RM140 juta bakal dimulakan pada awal tahun hadapan.
Menurut Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, LTSIP akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang wilayah (regional airport), iaitu sebuah lapangan terbang antarabangsa yang mengendalikan jumlah penerbangan atau penumpang domestik lebih banyak berbanding penerbangan atau penumpang antarabangsa.
LTS merancang untuk menarik perkhidmatan penerbangan sewa khas dari Asia Timur terutamanya China terus ke Sandakan sebaik sahaja landasan siap dipanjangkan serta untuk menjadi pintu masuk kedua terpenting ke negeri Sabah selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
LTM pula bercita-cita tinggi untuk menarik lebih banyak penerbangan dari negara China terus ke Bandar Raya Melaka walaupun LTM agak sukar untuk menarik minat syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk beroperasi di LTM. Setakat ini, LTM hanya beroperasi dengan dua laluan, iaitu Melaka - Pulau Pinang dan Melaka - Pekanbaru.
Sumber: Kota Bharu Airport (www.kotabharuairport.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment