Saturday, October 21, 2017

Kota Bharu berpotensi jadi destinasi penerbangan domestik AirAsia yang seterusnya dari LTAS, Johor

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru, Johor.
MERUJUK kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 3 Oktober 2017 dengan tajuk "AirAsia tambah operasi dua lagi pesawat di LTAS, Johor", syarikat penerbangan AirAsia diharap dapat menyambung semula laluan penerbangan Johor Bahru - Kota Bharu yang amat dinanti-nantikan dalam kalangan rakyat Johor dan Kelantan serta Singapura.

Untuk rekod, AirAsia pernah beroperasi bagi laluan ini pada tahun 2006 dari 7 Februari sehingga 28 Oktober  dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu, manakala Penerbangan Firefly juga pernah beroperasi bagi laluan ini dari 24 April 2012 sehingga Oktober 2016. 

AirAsia kini menempatkan empat buah pesawat jenis A320-200 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru, Johor yang menjadi hab selatannya dan dua buah pesawat lagi bakal ditempatkan di LTAS menjelang akhir tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pertambahan menjadi enam pesawat itu dapat meningkatkan jumlah penerbangan domestik dan antarabangsa dari negeri itu sekali gus dapat menarik minat pelancong datang ke Johor Bahru melalui jalan udara. 

Katanya, AirAsia menyasarkan untuk terus menambah laluan domestik dan antarabangsa melalui LTAS mengikut pelan pertumbuhan jangka panjang bagi tempoh lima tahun syarikat

Pada masa ini, terdapat sembilan destinasi penerbangan domestik AirAsia dari Johor Bahru, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuching, Langkawi, Miri, Pulau Pinang, Sibu dan Tawau, manakala destinasi penerbangan antarabangsa pula ialah Bangkok, Guangzhou, Bandar Raya Ho Chi Minh, Jakarta dan Surabaya serta Kolkata dan Macau mulai 28 November 2017. 

Analisis secara umum mendapati bahawa Kota Bharu sememangnya berpotensi untuk menjadi destinasi penerbangan domestik yang seterusnya dari Johor Bahru dengan mengambil kira jumlah pengerakan penumpang yang melebihi dua juta orang yang dikendalikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan semenjak tahun 2015.

Secara perbandingan, lapangan-lapangan terbang domestik lain seperti di Alor Setar (Kedah), Kuantan (Pahang), Labuan (Wilayah Persekutuan Labuan), Sandakan (Sabah) dan Bintulu (Sarawak) mencatatkan jumlah pengendalian penumpang kurang daripada sejuta penumpang setahun.

Pada masa ini, AirAsia menawarkan tiga destinasi penerbangan domestik dari Kota Bharu, iaitu Kuala Lumpur (sehingga 9x sehari), Kota Kinabalu (3x seminggu) dan Kuching (3x seminggu). Bagi laluan Kota Bharu - Johor Bahru, Airasia dicadangkan supaya menawarkan laluan ini dengan kekerapan tiga kali seminggu. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment