Tuesday, October 10, 2017

AirAsia tambah operasi dua lagi pesawat di LTAS, Johor

ISKANDAR PUTERI: AirAsia Bhd. berhasrat menambah dua lagi pesawat A320 di La­pangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) menjelang akhir tahun ini dalam usaha merancakkan pertumbuhan jangka panjang membangunkan negeri ini sebagai hab penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar (gambar) berkata, pertambahan menjadi enam pesawat itu dapat me­ningkatkan jumlah pe­nerbangan domestik dan antarabangsa dari negeri ini, sekali gus menarik minat pelancong datang ke Johor Bahru melalui jalan udara.

“Kita mahu menggunakan ke­dudukan Johor Bahru yang terletak antara Kuala Lumpur dan Singapura untuk menarik pelancong dari rantau ini menggunakan LTAS.

“Ini kerana Johor Bahru boleh menjadi pintu masuk dan menarik pelancong yang mahu ke Si­ngapura melalui Lapangan Terbang Changi dan kemudian menggunakan pesawat AirAsia di LTAS untuk terbang ke destinasi lain,” katanya kepada pemberita selepas mengha­diri Simposium Pelaburan Iskandar Malaysia 2017 di sini hari ini.

Aireen berkata, projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura akan menjadi pemang­kin kepada hasrat menjadikan LTAS sebagai hab penerbangan kerana mampu meningkatkan hubungan dan aksesibiliti antara Johor Bahru dan republik itu.

Katanya, AirAsia me­nyasarkan untuk terus menambah laluan domestik dan antarabangsa melalui LTAS mengikut pelan pertumbuhan jangka panjang bagi tempoh lima tahun syarikat.

“China adalah salah sebuah negara yang menawarkan potensi baik untuk AirAsia bagi menghubungkan ke lebih banyak bandar di negara itu. Laluan Johor Bahru ke Guangzhou yang diperkenalkan April tahun lalu turut mendapat sambutan baik,” katanya.

Pada masa ini, perkhidmatan penerbangan domestik AirAsia melibatkan laluan Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Langkawi, Sibu, Tawau, Kuching, Miri dan Kota Kinabalu, manakala penerbangan antarabangsa ke Guangzhou, Bangkok, Bandar Raya Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, Macau dan mulai 28 November ini ke Kolkata, India.

Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 3 Oktober 2017 | Terbitan 4 Oktober 2017

No comments:

Post a Comment