PADA 16 Mei 2014 (Jumaat) lalu genaplah enam bulan perkhidmatan
penerbangan terus bagi laluan Kota Kinabalu (BKI) – Kota Bharu (KBR) diperkenalkan syarikat penerbangan AirAsia. Perkhidmatan dengan kekerapan tiga kali
seminggu itu mula diperkenalkan pada 16 November 2013 bersempena bermulanya cuti
sekolah hujung tahun.
Perkhidmatan ditawarkan pada setiap hari Selasa, Khamis, dan
Sabtu menggunakan pesawat jenis A320-200 yang boleh membawa seramai 180 orang
penumpang dalam satu-satu masa.
Setakat ini laluan ini mendapat sambutan yang begitu
menggalakkan daripada penumpang. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Bharu
dan sebaliknya akan melintasi Laut China Selatan sehingga ke perairan Pahang melalui
Kepulauan Natuna, Indonesia sebelum menggunakan laluan pantai dari Kemaman,
Terengganu sehingga ke Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, laluan Kuching (KCH) – Kota Bharu (KBR) yang
mula diperkenalkan pada 22 Mac 2014 genap dua bulan pada 22 Mei 2014 (Khamis), manakala
laluan Singapura (SIN) – Kota Bharu (KBR) genap sebulan pada 21 Mei 2014 (Rabu).
Setakat ini, Lapangan Terbang Kota Bharu (KBR), iaitu hab udara terpenting dan tersibuk di Pantai Timur mengendalikan tujuh laluan penerbangan seperti berikut:-
- Kota Bharu (KBR) – Kuala Lumpur (KUL) oleh Malaysia Airlines dan AirAsia.
- Kota Bharu (KBR) – Subang (SZB) oleh Firefly Airlines dan Malindo Airways.
- Kota Bharu (KBR) – Pulau Pinang (PEN) oleh Firefly Airlines (7x seminggu) dan Malindo Airways (4x seminggu).
- Kota Bharu (KBR) – Johor Bahru (JHB) oleh Firefly Airlines (3x seminggu).
- Kota Bharu (KBR) – Kota Kinabalu (BKI) oleh AirAsia (3x seminggu).
- Kota Bharu (KBR) – Kuching (KCH) oleh AirAsia (3x seminggu).
- Kota Bharu (KBR) – Singapura (SIN) oleh AirAsia (4x seminggu).
Menurut laporan akhbar The Star bertarikh 19 Mei 2014 (Isnin) dengan tajuk "Firefly plans to add five new destinations," Firefly Airlines merancang untuk mengukuhkan kedudukannya di Pantai Timur melalui pangkalan utamanya di Kota Bharu dengan rancangan memperkenalkan beberapa laluan antarabangsa dari atau ke Kota Bharu yang melibatkan pasaran Vietnam dan Kemboja.
Pasaran Vietnam dan Kemboja tersebut kemungkinan besar adalah laluan Kota Bharu – Bandar Raya Ho Chi Minh dan Kota Bharu – Phnom Penh.
No comments:
Post a Comment