SEPANG: Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup
perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi di sini, dengan pelepasan
pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi
ini.
Sebelum itu, pesawat AirAsia AK 63, melakukan penerbangan terakhir
untuk malam tadi dari terminal berkenaan ke Kolkata, India pada pukul
10.30 malam.
Penutupan perkhidmatan LCCT pada hari ini selaras dengan pembukaan
terminal baru, KLIA2 pada 2 Mei lalu memandangkan terminal penerbangan
tambang murah itu tidak lagi mampu menampung jumlah penumpang yang
mencecah 22 juta orang pada tahun lalu, berbanding kapasitinya sebanyak
15 juta penumpang setahun.
AirAsia memulakan operasinya semalam di KLIA2 dengan pendaratan pesawat
pertamanya dari Ho Chi Minh, Vietnam pada pukul 3.50 petang.
Dengan kos pembinaan dalam lingkungan RM4 bilion, terminal KLIA2 mampu
mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun dengan AirAsia dijangka
menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik KLIA2.
Klia2 terletak 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL
(KLIA) berbanding 11 kilometer jarak antara terminal utama dan LCCT.
Selepas penutupan LCCT, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd
memaklumkan bahawa terminal itu akan dijadikan Terminal Kargo Udara.
Dirasmikan oleh Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad
Badawi pada 23 Mac 2006 dengan kapasiti asal 10 juta penumpang setahun,
LCCT kemudian diperbesar untuk menampung kapasati 15 juta penumpang
setahun pada 2009.
Selain syarikat kumpulan AirAsia yang terdiri daripada AirAsia, AirAsia
X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia Zest, tiga syarikat
penerbangan lain turut telah menggunakan perkhidmatan di LCCT iaitu
Tiger Air, Lion Air dan Cebu Pacific.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata
malam terakhir di LCCT dilalui dengan perasaan sedih kerana terminal ini
banyak berjasa kepada mereka dalam AirAsia.
"Banyak kenangan manis AirAsia di LCCT sejak ia memulakan operasi pada 26 Mac 2006. "Bermacam-macam kenangan manis yang dilalui di sini dengan pelbagai
pelancaran yang baik, laluan baharu dan banyak penyambungan penerbangan
antarabangsa yang diwujudkan," katanya kepada media.
Aireen berkata: "Kami telah menjadikan LCCT sebagai nadi lapangan
penerbangan tambang murah yang terkemuka di rantau ini dan saya dapat
merasakan sentuhan perasaan amat sedih kami di sini malam ini."
Ditanya sama ada AirAsia merancang mengambil lebih banyak kakitangan
selepas berpindah ke KLIA2 memandangkan dari segi kapasitinya lapangan
terbang itu tiga kali ganda lebih besar daripada LCCT, beliau berkata
syarikat itu akan meningkatkan proses perkhidmatannya tanpa perlu
menambah kakitangan buat masa ini.
"Kami mahu memastikan produktiviti kakitangan terus meningkat dan
mengharapkan mereka lebih cekap dan mampu melakukan pelbagai tugas pada
tahap keupayaan yang tinggi," katanya.
Aireen berkata cara ini adalah lebih baik untuk usaha pelaburan dan
pertumbuhan masa depan perniagaan yang lebih sihat.
Sumber: Bernama | 9 April 2014
No comments:
Post a Comment