Sunday, August 3, 2014

Malindo Air tambah enam lagi pesawat sebelum akhir tahun

KUANTAN: Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air merancang untuk menambah enam lagi pesawat, iaitu dari jenis Boeing dan ATR sebelum hujung tahun ini bagi memperkukuhkan lagi operasi syarikat.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata, syarikat itu telah pun mempunyai 15 buah pesawat walaupun baru beroperasi selama setahun empat bulan.

"Tambahan pesawat ini adalah penting untuk kami terus mengembangkan operasi dan pada hari ini kami memulakan penerbangan pertama Malindo Air dari Subang ke Kuantan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau ditemui pada majlis sambutan penerbangan pertama Malindo Air dari Subang ke Kuantan membabitkan 45 penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir bagi menyambut penerbangan pertama itu Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, Pengurus Besar Tourism Pahang, Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idrus Yahya.

Raja Sa'adi berkata, syarikat itu akan melakukan penerbangan empat kali seminggu dari Subang ke Kuantan, iaitu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

"Hasrat kami juga adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna. Kami mengutamakan keselesaan dan penjimatan masa untuk perjalanan mereka terutama menjelang musim perayaan apabila lebuh raya mengalami kesesakan.

"Sehubungan itu, penerbangan baru ini akan mendekatkan penduduk Kuala Lumpur dengan destinasi pelancongan di Pahang sperti Cherating dan Pulau Tioman," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar melahirkan penghargaan kerajaan negeri kepada Malindo Air kerana menawarkan penerbangan dari Subang ke Kuantan dan yakin usaha tersebut akan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Pahang.


Sumber: Bernama | 25 Julai 2014

No comments:

Post a Comment