Saturday, August 9, 2014

Malaysia Airlines Pilihanku

RAKYAT Malaysia sesungguhnya menyokong apa sahaja langkah terbaik kerajaan untuk menstrukturkan semula dan menyelamatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah terutamanya masalah kewangan dan dua tragedi besar yang berlaku pada tahun ini, iaitu kehilangan penuh misteri pesawat MH370 pada Mac dan insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada bulan Julai. 

Sebagai sebuah penerbangan yang membawa nama negara, MAS adalah imej dan wajah rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa yang perlu dipertahankan. Jika kita rakyat Malaysia sendiri yang tidak menyokong MAS, siapakah lagi yang akan menyokong MAS ini? 

Sebagai tanda sokongan berterusan rakyat Malaysia ke atas perkhidmatan MAS, sebuah laman Facebook khas telah ditubuhkan pada 8 Ogos 2014, iaitu Malaysia Airlines Pilihanku yang boleh dilayari melalui pautan www.facebook.com/malaysiaairlinespilihanku.  

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan pangkalan utama MAS di Malaysia dan di rantau ini. Setakat 9 Ogos 2014, MAS menawarkan 15 destinasi domestik dari KLIA, iaitu Alor Setar, Bintulu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Labuan, Langkawi, Miri, Pulau Pinang, Sandakan, Sibu, dan Tawau serta 48 laluan antarabangsa mengikut rantau seperti di bawah. 

  • Asia Tenggara: Bangkok-Suvarnabhumi, Bandar Raya Ho Chi Minh, Bandar Seri Begawan, Denpasar (Bali), Hanoi, Jakarta-Soekarno-Hatta, Krabi, Manila, Medan, Phnom Penh, Phuket, Siem Reap, Singapura, dan Yangon (14 destinasi). 
  • Asia Timur: Beijing-Capital, Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Osaka-Kansai, Seoul-Incheon, Shanghai-Pudong, Taipei-Taoyuan, Tokyo-Narita, dan Xiamen (10 destinasi). 
  • Asia Selatan: Bangalore, Chennai, Colombo, Delhi, Dhaka, Hyderabad, Kathmandu, Kochi, Male, dan Mumbai (10 destinasi). 
  • Asia Barat: Dubai dan Jeddah (dua destinasi)
  • Eropah: Amsterdam, Frankfurt, Istanbul-Ataturk, London-Heathrow, dan Paris-Charles de Gaulle (lima destinasi). 
  • Oceania: Adelaide, Auckland, Brisbane, Darwin, Melbourne, Perth, dan Sydney (tujuh destinasi). 
Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia diiminta terus menjadikan syarikat penerbangan ini sebagai pilihan untuk ke destinasi-destinasi domestik dan antarabangsa. Terima kasih kerana terus memilih MAS! 

No comments:

Post a Comment